Bunuh Ah Long: Enam Termasuk Dua Remaja Berdepan Hukuman Gantung | KLANG: Enam lelaki termasuk dua remaja belasan tahun berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa atas tuduhan membunuh serta bersubahat membunuh seorang lelaki dipercayai ah long di dua Mahkamah Majistret Klang hari ini.

Di hadapan Majistret P. Sarulatha, tertuduh-tertuduh, Yap Soon Kuan, 18; Lau Zi Hui, 19; Tan Ah Chai, 27; Yeo Ching Lian, 36, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dua lagi tertuduh, Tan Yong Seng, 38 dan Gan Kok Shang, 43, didakwa mengikut Seksyen 109 akta sama yang dibaca bersama Seksyen 302 yang juga membawa hukuman gantung sampai mati di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd. Rashid.

Kesemua tertuduh itu didakwa membunuh dan bersubahat untuk membunuh Phua Kian Ming, 47, dipercayai ah long pada pukul 12.20 tengah hari, 6 November lalu di Lorong Batu Nilam 27A, Bandar Bukit Tinggi, Klang .

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan yang dibacakan kepada mereka dalam Bahasa Mandarin dan tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.

Kedua-dua prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ain Madihah Zulkifli dan Nur ‘Ayuni Jamri manakala peguam-peguam Lim Chi Hau, Ng Li Kian dan Helen Fong mewakili lima tertuduh kecuali Yong Seng.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Januari 2022 untuk sebutan semula kes.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut ditetak selepas makan bersama anaknya di sebuah restoran di Bandar Bukit Tinggi.

Mangsa dikatakan diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang ketika membuka pintu kereta Toyota Vellfire miliknya sebaik sahaja meninggalkan restoran terbabit.

Sumber: Utusan

Share.

Leave A Reply