Bunuh Gengster, Bekas Pelajar Kolej Terlepas Hukuman Mati.

| October 1, 2021 | 0 Comments

Bunuh Gengster, Bekas Pelajar Kolej Terlepas Hukuman Mati. | PETALING JAYA: Seorang bekas pelajar kolej terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kesalahan membunuh seorang gengster.

Bunuh Gengster, Bekas Pelajar Kolej Terlepas Hukuman Mati.

Panel tiga hakim diketuai Vazeer Alam Mydin Meera, dalam keputusan sebulat suara, melepas dan membebaskan P Dhivyaprabu selepas memutuskan bahawa sabitan terhadapnya bagi kesalahan membunuh adalah tidak selamat.

Beliau berkata, pengecaman Dhivyaprabu sebagai individu yang menikam mangsa, Muhammad Jeffri Abu Bakar, adalah tidak memuaskan, menurut laporan Bernama.

Katanya, panel itu mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah melakukan salah arahan yang serius dalam memenuhi peruntukan Seksyen 300 Kanun Keseksaan dan menilai bukti bagi menyokong dapatan beliau.

Turut bersidang hakim Ahmad Nasfy Yasin dan Nordin Hassan.

Dhivyaprabu, 25, didapati bersalah membunuh Muhammad Jeffri, 22, dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 30 Mei 2019.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pub di Publika Hartamas, Sentul antara 4 hingga 4.15 pagi pada 28 Jan 2017.

Terdahulu, panel itu mendengar hujah peguam Gooi Soon Seng yang menyatakan bahawa Dhivyaprabu dan 10 rakannya termasuk tiga gadis telah ke pub tersebut untuk meraikan hari jadi seorang rakan mereka.

Selepas sesi sambutan hari jadi itu, berlaku pergaduhan dengan satu lagi kumpulan yang menyaksikan kira-kira 20 orang terlibat.

Gooi berkata, dalam pergaduhan itu, mangsa telah ditikam dengan sebilah pisau berukuran tiga inci.

Beliau berkata, Dhivyaprabu hendaklah dibebaskan tanpa dipanggil membela diri selepas pengecaman terhadapnya yang dibuat berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Katanya, bagaimanapun hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu bergantung kepada rakaman tersebut pada peringkat pembelaan.

Gooi berkata, anak guamnya bertindak melarikan diri ke Johor namun kembali selepas mangsa disahkan seorang gengster terkenal dan beberapa laporan polis dibuat terhadap Muhammad Jeffri.

Turut mewakili Dhivyaprabu ialah peguam Amer Hamzah Arshad, Joshua Tay dan Ooi Pen Lyn manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Samihah Rhazali dan Muhammad Azmi Mashud.

Sumber: Free Malaysia Today

Tags: ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *