Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemuda di Kampung Gondang, Ketereh Mei lalu.

Bunuh Lelaki Di Tanah Perkuburan. Ini NASIB Yang Diterima Pasangan Kekasih

Maizatul Shima Abdullah, 21, dan Muhammad Zaim Syakir Shaari, 20, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar dan tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, kedua-kedua tertuduh secara bersama dengan niat melakukan kesalahan bunuh hingga menyebabkan kematian Muhamad Fahmi Adli Mat, 24, dengan menetak tubuh badan mangsa menggunakan parang.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan perkuburan lama Islam Kampung Gondang, Ketereh antara jam 10 malam pada 14 Mei hingga jam 1 pagi 15 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Yusnaliza Mohammad Yusoff dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 26 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan forensik.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply