Bunuh Pesara Polis: Pesalah Terlepas Hukuman Gantung Kerana Tak Siuman | Seorang lelaki terlepas hukuman gantung atas pertuduhan membunuh seorang pesara polis empat tahun lalu apabila Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini memutuskan tertuduh tidak siuman ketika melakukan perbuatan itu.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan berkenaan selepas mendapati tertuduh, Mohd. Rozani Yahaya, 43, melakukan perbuatan itu sama seperti pertuduhan, namun dibebaskan kerana tidak berupaya mengesahkan perbuatan sendiri kerana tidak waras pada waktu kejadian.

Datuk Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya memutuskan tertuduh akan diletakkan di bawah penjagaan yang selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Mahkamah mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 348 (2) Kanun Prosedur Jenayah supaya tertuduh diletak dalam tahanan selamat di hospital berkenaan sehingga mendapat perintah daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Katanya,perbuatan tertuduh yang memukul mangsa dengan sebatang besi dan berlari ke sana ke sini sebelum menyembunyikan diri di dalam alor sungai tidak mencerminkan keadaan waras tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Rozani didakwa membunuh Ab. Halim Che Yusoff, 69, di tepi sebuah rumah di Kampung Apa-Apa, Bunut Susu di Pasir Mas kira-kira pukul 12 tengah hari pada 25 Januari 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Zameri Mat Nawang.

Datuk Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya memaklumkan bahawa Mohd. Rozani mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) mental sejak 2004 selepas memasuki wad sakit jiwa Hospital Raja Perempuan Zainab 2.

Menurutnya, tertuduh juga telah dipersetujui oleh pihak hospital mengalami masalah mental kerana pengambilan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Sumber: Awani

Share.

Leave A Reply