Buruh Didakwa [email protected] Kekasih Umur 12 Tahun | Seorang buruh binaan telah didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap kekasihnya yang masih di bawah umur, iaitu berumur 12 tahun pada Oktober dan November lalu.

Hasrul Hassan yang berumur 24 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa bahawa merogol mangsa yang berusia 12 tahun empat bulan ketika kejadian di sebuah rumah di Machang, jam 4 pagi 17 Oktober lalu.

Kesalahan itu telah didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pertuduhan yang kedua, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal, iaitu dengan sengaja mencium bahagian leher mangsa sama di lokasi sama, jam 2 pagi 19 November.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Abu Arsalnaa tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan memohon tarikh untuk serahan dokumen.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin dan telah menetapkan pada 3 Januari depan untuk tarikh sebutan semula kes.

Sumber: Berita Harian

 

Artikel Lain

Buruh Ladang Rogol Anak Tiri Umur 12 Tahun, Ini Hukuman Yang Dikenakan

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol anak tirinya pada Ogos tahun lalu.

Buruh Ladang Rogol Anak Tiri Umur 12 Tahun, Ini Hukuman Yang Dikenakan

Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Lius Jappa, 41, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh ladang didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun, di sebuah rumah kongsi di Batu 17, Jalan Bukit Quoin dekat sini, kira-kira jam 8 pagi antara 1 hingga 30 Ogos, tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang sepuluh tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan juga hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana dalam hujahnya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain kesan trauma yang dialami mangsa.

Jelasnya, sebagai seorang bapa, tertuduh sewajarnya memberi perlindungan kepada mangsa tanpa mengira status sama ada anak kandung ataupun anak tiri, sebaliknya tertuduh bertindak merogol mangsa sehingga hamil tujuh bulan.

“Pendakwaan juga mengambil kira faktor trauma dialami mangsa, yang mana dalam kes ini mangsa yang masih muda (12 tahun) kelak terpaksa menjalani kehidupan sebagai seorang Ibu tunggal tanpa suami dan anak tanpa ayah.

“Rayuan yang dikemukakan tertuduh juga sedikit pun tidak menunjukkan perasaan insaf atau menyesal atas perbuatan yang telah dilakukannya,’ tegasnya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh, dipenjara 15 tahun dan sepuluh sebatan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 22 September 2022, serta dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Berdasarkan fakta kes, pada 21 September 2022, kira-kira jam 11.30 pagi mangsa telah dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Tawau oleh guru sekolahnya selepas mengesyaki keadaan perut mangsa seperti wanita mengandung.

Hasil pemeriksaan lanjut oleh doktor bertugas mengesahkan mangsa hamil tujuh bulan sebelum laporan polis dibuat.

Sumber : Berita Harian

Share.

Leave A Reply