Buruh Didakwa Tetak Lelaki Guna Parang | Buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki menggunakan parang sehingga menyebabkan mangsa parah termasuk ibu jari tangan hampir putus.

Tertuduh, Mohd Amran Razali, 33, membuat pengakuan itu sebelum mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas mangsa berusia 38 tahun dengan menggunakan sebilah parang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Gong Cempedak di daerah Marang jam 7.50 malam pada 23 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 8 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran pada 1 hari bulan setiap bulan selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki hampir putus jari tangan dan cedera parah pada lutut akibat ditetak di hadapan sebuah rumah di kawasan Kampung Gong Cempedak di Marang.

Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa berkaitan pembayaran ganti rugi kerosakan kereta.

Sumber: Berita Harian

 

Artikel Lain

Buruh Ladang Rogol Anak Tiri Umur 12 Tahun, Ini Hukuman Yang Dikenakan

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol anak tirinya pada Ogos tahun lalu.

Buruh Ladang Rogol Anak Tiri Umur 12 Tahun, Ini Hukuman Yang Dikenakan

Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Lius Jappa, 41, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh ladang didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun, di sebuah rumah kongsi di Batu 17, Jalan Bukit Quoin dekat sini, kira-kira jam 8 pagi antara 1 hingga 30 Ogos, tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang sepuluh tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan juga hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana dalam hujahnya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain kesan trauma yang dialami mangsa.

Jelasnya, sebagai seorang bapa, tertuduh sewajarnya memberi perlindungan kepada mangsa tanpa mengira status sama ada anak kandung ataupun anak tiri, sebaliknya tertuduh bertindak merogol mangsa sehingga hamil tujuh bulan.

“Pendakwaan juga mengambil kira faktor trauma dialami mangsa, yang mana dalam kes ini mangsa yang masih muda (12 tahun) kelak terpaksa menjalani kehidupan sebagai seorang Ibu tunggal tanpa suami dan anak tanpa ayah.

“Rayuan yang dikemukakan tertuduh juga sedikit pun tidak menunjukkan perasaan insaf atau menyesal atas perbuatan yang telah dilakukannya,’ tegasnya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh, dipenjara 15 tahun dan sepuluh sebatan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 22 September 2022, serta dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Berdasarkan fakta kes, pada 21 September 2022, kira-kira jam 11.30 pagi mangsa telah dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Tawau oleh guru sekolahnya selepas mengesyaki keadaan perut mangsa seperti wanita mengandung.

Hasil pemeriksaan lanjut oleh doktor bertugas mengesahkan mangsa hamil tujuh bulan sebelum laporan polis dibuat.

Sumber : Berita Harian

 

Share.

Leave A Reply