Buruh Ditemui Lemas Ketika Cuba Seberang Sungai Abai | Seorang buruh yang cuba menyeberangi sungai semata-mata untuk mematikan mesin kimpalan ditemui lemas dalam kejadian di Sungai Abai, Kota Belud, Sabah semalam.

Buruh Ditemui Lemas Ketika Cuba Seberang Sungai Abai

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, mayat lelaki tempatan berusia 22 tahun yang berasal dari Ranau ditemui pada pukul 2.03 petang oleh penduduk kampung sekitar 100 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

Katanya, lokasi kejadian adalah tapak jambatan sementara projek Pan Borneo yang masih dalam pembinaan.

Jelasnya, jambatan itu belum disambung ke seberang sungai kerana ingin memberi laluan kepada bot penduduk kampung yang melalui sungai tersebut.

Berdasarkan percakapan seorang saksi di tempat kejadian, dia mendakwa bersama mangsa sebelum kejadian pada jam 12.25 tengah hari.

Menurut saksi, tujuan mangsa terjun ke sungai itu kerana dia ingin memadamkan mesin kimpalan yang berada di seberang sungai.

Sahimi berkata, saksi sempat melarang mangsa menyeberangi sungai kerana bahaya namun mngsa tetap terjun dan mengambil keputusan melalui sungai itu kerana laluan singkat sebelum kemudiannya saksi melihat mangsa hanyut dibawa arus ketika menyeberangi sungai berkenaan.

Katanya, ketika mangsa hanyut, dia sempat meminta pertolongan tapi saksi tidak berani kerana kedudukan mangsa yang agak jauh sebelum mangsa kemudiannya terus tenggelam dan dipercayai lemas.

Mangsa kemudiannnya ditemui oleh penduduk kampung pada hari yang sama sekitar pukul 2.03 petang sebelum mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Sahimi menyatakan siasatan awal mendapati i tiada sebarang unsur jenayah berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply