Buruh Mengaku Tak Salah Culik Dua Pelarian Rohingya | Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Selasa atas dakwaan menculik dua pelarian Rohingya warga Myanmar di Kok Lanas pada Jumaat lalu.

Tertuduh, Hafiy Zulhilmy Hassan,32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas didakwa menculik dua buruh lelaki juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) iaitu Abdul Hamin Abu Tahir berusia 20-an dan Solej Ahmad Habus Ahmad berusia 30-an tersebut bertujuan mengurung mereka dengan salah di Taman Arif, Kok Lanas pada 20 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 kanun keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan memohon tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 26 Februari ini.

Sumber: Sinar Harian

 

Artikel Lain

Penghantar Barang Mengaku Tak Bersalah Culik Dan Mencederakan

Penghantar Barang Mengaku Tak Bersalah Culik Dan Mencederakan | Dua lelaki yang bekerja sebagai penghantar barangan di sebuah syarikat pengurusan kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dakwaan menculik dan mencederakan seorang lelaki, kira-kira seminggu lalu.

Tertuduh, Wong Yu Yang, 26, dan Tan Jun Xian, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama dalam Bahasa Hokkien di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap Low Chong Yeow, 31, di Jalan Kelasah, Seberang Jaya, dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pada 20 Disember lalu, kira-kira pukul 3 petang.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh dengan niat telah menculik Chong Yeow dan menyebabkan mangsa dikurung dengan sulit dan salah di lokasi dan masa yang sama seperti pertuduhan pertama.

Sehubungan itu, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Yu Yang turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu melakukan pemerasan hingga mendatangkan ketakutan kepada Chong Yeow bahawa satu bencana iaitu ancaman mendatangkan kecederaan akan berlaku kepada mangsa kira-kira pukul 4 petang pada 20 Disember lalu di Persiaran Sembilang, Seberang Jaya di sini.

Pertuduhan itu membolehkan dia dihukum di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Kes dikendalikan Nurul Nadia Jamal, Timbalan Pendakwa Raya, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Pang Chuin Keat.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Sementara itu, bagi pertuduhan melakukan pemerasan pula, wang jaminan tambahan sebanyak RM5,000 ditetapkan terhadap Yu Yang.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh mematuhi syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa sepanjang kes berjalan atau jika ingkar, jaminan yang dikenakan terhadap mereka boleh ditarik balik.

Kes akan disebut semula pada 28 Februari depan sementara menunggu laporan perubatan dan proses serahan dokumen.

Sumber: Utusan Malaysia

Share.

Leave A Reply