Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sudah mengarahkan kedai mencuci kereta di Taman Pelangi di sini, ditutup kerana beroperasi tanpa lesen.

'Car Wash' Di JB Yang Hanya Terima Pelanggan Singapura Diarah Tutup

Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, selain itu, pihaknya turut mengenakan kompaun dan menyita peralatan di premis berkenaan.

“Pengusaha juga dinasihati supaya mematuhi syarat yang ditetapkan.

“MBJB melakukan operasi daripada semasa ke semasa bagi memantau operasi kedai cuci kereta,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, akhbar ini mendedahkan sebuah kedai mencuci kereta di Taman Pelangi di sini bukan saja tidak memiliki lesen perniagaan malah didakwa memilih pelanggan tertentu iaitu mengutamakan pelanggan Singapura berbanding pelanggan tempatan.

Terdahulu, seorang penduduk, Adibah Rashid, 43, berkata perbuatan tidak bertanggungjawab pengusaha kedai mencuci kereta itu mengutamakan pelanggan negara jiran menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk sekitar bandar raya itu.

Menurutnya, malah kejadian seumpama itu juga bukan perkara baru sejak tambak Johor mula dibuka pada April lalu.

Katanya, sikap tamak segelintir peniaga yang memberi layanan kurang mesra menjejaskan keselesaan pengguna tempatan dikhuatiri menjadi ikutan peniaga lain.

“Ketika pandemik Covid-19, kebanyakan peniaga bergantung sepenuhnya kepada pelanggan tempatan dan tiada soal diskriminasi.

“Mereka sepatutnya menghargai pelanggan tempatan yang memberi sokongan kepada mereka ketika waktu sukar mahupun pada awal fasa pemulihan.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahupun persatuan peniaga perlu menasihati kumpulan peniaga supaya mereka memberi layanan sama kepada semua pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han berkata semua peniaga dinasihatkan supaya tidak membezakan pelanggan.

Beliau berkata, apa yang penting peniaga perlu memaparkan tanda harga dan tidak mengenakan caj berbeza kepada warga tempatan dengan warga asing.

“Mereka tidak seharusnya melanggar peraturan ditetapkan malah mereka tidak sepatutnya menolak memberi perkhidmatan kepada pelanggan sama ada tempatan mahupun warga asing.

“Tiada aduan rasmi khusus berkaitan pemilihan pelanggan tertentu saja oleh premis mencuci kenderaan namun pihak kami akan memantau premis mencuci kenderaan itu berkaitan penandaan harga perkhidmatan yang diberikan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkata semakan pihaknya mendapati perniagaan kedai cuci kereta yang tular di media sosial tidak berlesen.

“Permohonan lesen tidak diluluskan baru-baru ini kerana kedudukan kedai cuci kereta berkenaan tidak sesuai dan MBJB mengeluarkan kompaun terhadap pemilik premis dan akan mengambil tindakan,” katanya.

Bagi Pengerusi Persatuan Peniaga India Johor (JIBA) P Siva Kumar, walaupun kemasukan pelancong asing menjana ekonomi Johor namun kos sara hidup semakin meningkat hingga membebankan penduduk berpendapatan rendah.

“Peniaga seharusnya menetapkan harga yang berpatutan supaya penduduk tempatan tidak terjejas,” katanya.

Dalam perkongsian di TikTok, netizen mendakwa sebuah kedai cuci kereta di Taman Pelangi mengutamakan pelanggan warga Singapura.

@nh.sams Banyakk lagii aku nak bebel sebenarnyaa tapi tuu laa budak kecikk nii tak reti duduk diam dapat record sikit jee 😏 #johorbahru#fyp#fypシ゚viral#viraljohorbahru#sakithati ♬ Party Coy – KIYAU OYONG

@nh.sams Replying to @arowana995 ♬ BIZCOCHITO – ROSALÍA

Pekerja kedai cuci kereta berkenaan yang menolak memberi perkhidmatan kepada pelanggan tempatan dengan menyatakan operasi sudah ditutup pada jam 11 malam namun kemudian dilihat menerima kehadiran pelanggan warga Singapura.

Malah beberapa netizen juga mendakwa selepas jam 9 malam, pengusaha kedai cuci kereta hanya menawarkan perkhidmatan cuci kereta berserta menggilap kereta pada harga RM30 atau lebih.

Perbuatan tidak bertanggungjawab pengusaha kedai mencuci kereta itu mengutamakan pelanggan Singapura menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk sekitar bandar raya.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply