CCTV Bongkar Identiti Lelaki Pecah Rumah

| September 13, 2020 | 0 Comments

CCTV Bongkar Identiti Lelaki Pecah Rumah | Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya membongkar identiti seorang lelaki yang memecah masuk sebuah rumah di kawasan Medini di sini pada 7 September lalu.

Suspek yang tinggal di bangunan sama dengan mangsa melakukan kegiatan tersebut semasa tuan rumah itu dan isterinya, pulang ke Sarawak.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, semasa pulang semula pada 10 September lalu, pasangan itu mendapati pintu dapur dan tingkap dapur dalam keadaan terbuka.

“Mangsa membuat pemeriksaan dan mendapati barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit hilang. Kerugian dianggarkan lebih RM50,000.

“Mangsa memaklumkan kejadian itu kepada pihak pengurusan untuk melihat rakaman CCTV. Penelitian CCTV mendapati suspek berkenaan pecah masuk rumah mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri memberkas suspek di kawasan tempat letak kenderaan di hadapan bangunan kawasan Medini pada jam 5.30 petang, 10 September lalu.

Pihaknya turut merampas 25 barang antaranya satu beg galas, dua utas rantai leher emas, dua utas gelang tangan emas, satu bentuk cincin emas serta dua unit telefon bimbit jenama Iphone dan Huawei.

“Rampasan tersebut termasuk satu kotak yang mengandungi sebentuk cincin berlian, wang tunai Ringgit Malaysia dan mata wang negara lain yang berjumlah RM20,750,” katanya.

Dzulkhairi berkata, siasatan mendapati suspek, 27, mempunyai 10 rekod jenayah lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

Ujian saringan air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah dan dia direman lima hari sehingga 15 September ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut dan dengan tertangkapnya suspek, pihak polis percaya dapat menyelesaikan dua kes pecah rumah di sekitar kawasan Iskandar Puteri,” kata beliau lagi.

Sumber : SH

Tags: , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *