Cipta Lebih 50 Profil Sehari, Sindiket Guna WeChat Tumpas | Kuala Lumpur: Lebih 50 profil WeChat dibuat setiap hari oleh setiap seorang pekerjanya. Itu taktik sindiket penipuan sebuah pusat panggilan

Seterusnya, data setiap kenalan mangsa akan dihantar ke dalam group WhatsApp di mana ketua sindiket akan menjalankan proses penipuan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor bagaimanapun berkata, kegiatan sindiket terbabit terbongkar selepas Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dibantu oleh Pakar Analisa Media Sosial, Bahagian Siasatan Jenayah Siber & Multimedia (JSM) Bukit Aman menyerbu sebuah unit kondominium terletak di Mont Kiara, di sini, Isnin lalu.

Menurutnya, tangkapan terdiri daripada dua lelaki tempatan, tiga lelaki warganegara China dan dua wanita warganegara China berusia lingkungan antara 19 hingga 25 tahun.

“Turut dirampas, tujuh unit Komputer riba, 28 telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh papan kekunci, tujuh tetikus dan satu rangkai kunci rumah yang digunakan dalam kegiatan itu. ”

“Berdasarkan hasil semakan pakar juga, terdapat unsur-unsur penipuan dalam talian melalui WeChat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata, kegiatan penipuan ini dipercayai menyasarkan mangsa dari China.

“Kesemua suspek menggunakan profil WeChat yang berbeza bagi tujuan penipuan di mana jumlah profil WeChat yang akan dibuat setiap hari adalah lebih daripada 50 profil setiap seorang.

“Seterusnya data setiap kenalan mangsa akan dihantar ke dalam group WhatsApp di mana ketua sindiket akan menjalankan proses seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, kesemua tangkapan adalah pekerja sindiket yang menerima bayaran gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, dan kumpulan ini beroperasi sejak bulan Februari 2022 dengan menjalankan tugas sebagai pegawai khidmat pelanggan.

“Semua suspek akan ditahan bagi tindakan siasatan selanjutnya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

SUMBER : Harian Metro

Share.

Leave A Reply