Covid-19. “Ibu Sudah Tiada Ketika Saya Kejut Untuk Solat”.

| January 19, 2021 | 0 Comments

“Ibu Sudah Tiada Ketika Kejut Untuk Solat”. | Virus Covid-19 menjadikan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di kampung Benda Baru, daerah Pamulang, Tangerang Selatan, Jawa, Indonesia, tinggal sebatang kara selepas ibunya meninggal dunia akibat wabak itu.

Kisah meruntun jiwa itu berlaku kepada anak yatim bernama Aisyah Alusa apabila ibunya, Rina meninggal dunia di rumah pada Sabtu selepas positif Covid-19, lapor Liputan 6.

Menurut Ketua kampung Benda Baru, Marliansyah A Baset, bapa Aisyah meninggal dunia ketika usianya 2 tahun.

“Pada Jumaat lalu, wanita itu mengadu pening, batuk dan demam. Kemudian penduduk membawanya ke Pusat Kesihatan Benda Baru untuk mendapatkan rawatan.

“Ketika tiba di sana, Rina menjalani pemeriksaan awal sebelum dirujuk ke Hospital Permata untuk ujian calitan Covid-19.

“Hasilnya, dia positif Covid-19 dan perlu dirawat di hospital atau pengasingan bebas. Bagaimanapun, memikirkan anaknya tinggal sendirian, wanita berkenaan mengasingkan diri di rumah,” katanya pada Selasa.

Kemudian, pada Sabtu lalu, ketika Aisyah mengejutkan ibunya dari tidur, wanita berkenaan telah meninggal dunia.

“Aisyah kejutkan ibunya untuk tunaikan solat berjemaah jam 5.30 petang (waktu tempatan).

“Tetapi ibunya telah kaku. Mendengar tangisan anak itu membuatkan penduduk pergi ke rumah dan melihat dari jauh sahaja.

“Kami menghubungi pihak perubatan dan mereka tiba menggunakan PPE (peralatan perlindungan diri) lengkap yang kemudiannya mengesahkan Rina sudah meninggal dunia. Jenazahnya dikebumikan pada Ahad jam 6 pagi di Tanah Perkuburan Umum Jombang,” katanya.

Ujarnya, Aisyah yang tinggal sendirian juga disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan pada Ahad.

“Kini Aisyah dirawat di Fighting House di Tangerang Selatan dan kami berharap dia terus tabah menghadapi ujian ini.

“Kami memastikan Aisyah tidak kurang satu pun. Setiap hari kami berikan makanan yang enak supaya dia tetap bersemangat untuk sihat,” katanya yang turut bersimpati atas apa yang berlaku kepada kanak-kanak itu.

Sumber : SH

Tags: , , , , , , ,

Category: DUNIA, INFORMASI, KELUARGA, KESIHATAN, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *