Covid-19: Pandemik Belum Berakhir, Jerman Masih Wajibkan Kuarantin. Menteri Kesihatan Jerman masih mengekalkan kuarantin bagi individu yang didapati positif Covid-19. Baca selanjutnya.
BERLIN: Menteri Kesihatan Jerman, Karl Lauterbach, menegaskan negara itu tidak akan menamatkan kuarantin wajib bagi individu yang didapati positif COVID-19.
Katanya, jika langkah berkenaan ditarik balik ia akan membuatkan orang ramai berfikir bahawa pandemik itu sudah berakhir.
“COVID-19 bukan selsema, itulah sebab mengapa kuarantin perlu diteruskan selepas jangkitan.
“Kita pernah membuat kesilapan mencadangkan supaya kuarantin wajib ditamatkan,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Berdasarkan peraturan sedia ada, individu yang dijangkiti COVID-19 perlu mengasingkan diri sekurang-kurangnya tujuh hari.
Minggu lalu, Lauterbach mencadangkan kuarantin kendiri secara sukarela selama lima hari dan memberi cadangan supaya ujian COVID-19 dibuat di akhir tempoh kuarantin.
Beliau membuat cadangan itu bagi mengurangkan beban pihak berkuasa kesihatan yang perlu menjalani kuarantin dan pengasingan.
Bagaimanapun, katanya, ia memberi isyarat yang salah kepada rakyat dengan beranggapan bahawa pandemik sudah berakhir dan bahaya sudah berlalu.
“Itu bukan kesnya,” katanya dalam sidang media yang turut memaklumkan lebih 300 pesakit COVID-19 meninggal dunia setiap hari.
Kadar jangkitan harian di negara itu menurun minggu lalu kira-kira dua peratus berbanding minggu sebelumnya, dengan 214,985 kes baharu dilaporkan semalam.
Angka keseluruhan kes sejak pandemik bermula di Jerman melebihi 22 juta dengan 130,708 kematian.
Lauterbach menerima kecaman hebat selepas menarik balik dasar berkenaan, namun menegaskan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan.
Kerajaan turut menerima tekanan selepas gagal mencapai kesepakatan di kalangan semua parti untuk mewajibkan vaksin.
Lauterbach berkata, Parlimen dijangka meluluskan undang-undang yang akan mewajibkan semua individu berusia 60 tahun ke atas divaksin menjelang 1 Oktober ini.
Sumber: Berita Harian