Covid-19: Van Jenazah Patah Balik Sebab Dihalang Oleh Orang Kampung Ketika Ke Kubur.

| April 11, 2020 | 0 Comments

Covid-19: Van Jenazah Patah Balik Sebab Dihalang Oleh Orang Kampung Ketika Ke Kubur. | Penduduk sebuah kampung di Jawa Tengah, Indonesia bertindak menghalang pihak berkuasa mengebumikan jenazah jururawat yang meninggal dunia kerana positif virus Covid-19 di kawasan tanah perkuburan di kampung mereka.

Menurut media tempatan, jenazah Nuria Kurniasih, 38, jururawat di Rumah Sakit Umum (hospital) Dr Kariadi, Semarang, meninggal dunia pada Khamis lalu selepas seminggu dirawat akibat jangkitan virus itu.

Jenazah sepatutnya dikebumikan di kampung halamannya di Pemakaman Umum Sewakul kelmarin, namun sekumpulan penduduk desa itu menghalang pihak berkuasa berbuat demikian kerana bimbang virus itu akan tersebar di kampung mereka.

Van jenazah terpaksa berpatah balik ke hospital dan jenazah kemudiannya dikebumikan di kawasan perkuburan di hospital Dr Kariadi, Semarang.

Menurut media tempatan, sekumpulan penduduk menghalang pihak berkuasa daripada memasuki tanah perkuburan di desa itu walaupun semua persiapan pengebumian sudah dilakukan, malah keluarga jururawat itu turut menangis dan merayu supaya penduduk kampung tidak berbuat demikian.

Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dalam satu kenyataan menyatakan kekesalan berhubung kejadian itu dan berharap kejadian sedemikian tidak berulang apatah lagi melibatkan seorang petugas kesihatan yang berjasa kepada masyarakat dan negara.

Ketua Desa Sewakul, Purbo memohon maaf kepada keluarga jururawat itu dan menyatakan beliau tidak berdaya menghalang tindakan agresif sekumpulan masyarakat di kampung itu.

Netizen di media sosial dan Persatuan Perawat (jururawat) Nasional Indonesia seperti dipetik agensi berita Antara, turut mengecam tindakan sekumpulan masyarakat berkenaan. – Bernama

Sumber : SH

Tags: , , , , , ,

Category: DUNIA, INFORMASI, KELUARGA, KESIHATAN, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *