Cubaan Ahli Parlimen Pembangkang Berarak Ke Bangunan Parlimen Gagal. | KUALA LUMPUR – Cubaan ahli Parlimen pembangkang berarak untuk memasuki bangunan Parlimen tidak berjaya setelah disekat oleh pihak polis.

Antara yang hadir dalam perarakan tersebut ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ahli-ahli Parlimen berkenaan mula berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10 pagi apabila cubaan mereka untuk memasuki bangunan Parlimen yang dijadualkan jam 9.30 pagi tidak berjaya.

Ia ekoran sekatan yang dilakukan oleh pihak polis di setiap laluan masuk ke Jalan Parlimen.

Selepas beberapa ahli Parlimen berucap, kumpulan itu berarak dari Dataran Merdeka sambil memegang kain rentang yang bertulis ‘Mahiadin & kabinet letak jawatan’.

Pihak polis yang berkawal cuba menahan pergerakan tersebut beberapa kali namun ahli-ahli Parlimen terus mara sehingga ke bulatan Bank Negara.

Namun sepasukan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah bersiap sedia di laluan masuk Jalan Parlimen bagi menyekat pergerakan tersebut.

Rundingan yang cuba dilakukan oleh Anwar bersama pihak polis juga gagal dan akhirnya ahli-ahli Parlimen mengambil keputusan untuk menghentikan perarakan yang berlangsung selama lebih sejam itu dan bersurai.

Anggota FRU yang menyekat laluan juga bersurai kira-kira jam 10.50 pagi, namun kenderaan FRU masih berada di laluan masuk sebagai langkah berjaga-jaga.

Sumber : SH

Share.

Leave A Reply