Cubaan Umno Batalkan Saman SRC Untuk Dapatkan Semula RM16 juta Gagal. | KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Umno untuk membatalkan saman SRC International Sdn Bhd terhadapnya berhubung dakwaan menerima RM16 juta yang dikatakan telah diseleweng daripada syarikat terbabit.
Peguam Shahrul Fazli Kamaruzaman yang mewakili Umno berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon berpendapat bahawa terdapat isu yang perlu diputuskan dalam perbicaraan.
Quay membuat keputusan itu dalam prosiding yang dilakukan secara maya hari ini.
Beliau turut membenarkan permohonan SRC International untuk meminda penyataan tuntutannya bagi menggantikan perkataan “pengerusi” dan “ketua setiausaha Umno” kepada “setiausaha eksekutif Umno, Mohd Sumali Reduan, seorang pegawai awam”.
Pada Mei lalu, bekas anak syarikat 1MDB, SRC International bawah pengurusan barunya memfailkan saman terhadap Umno, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd.
Ia menyaman Umno untuk mendapatkan semula RM16 juta yang dikatakan telah dipindahkan kepada parti itu secara salah.
Ia mendakwa Umno tahu atau sepatutnya tahu bahawa wang terbabit adalah milik SRC International dan parti itu tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.
Peguam Nur Syafinaz Vani Abdullah mewakili plaintif.
Sumber: FMT