Cucu Gurau Tembak Nenek Sendiri Guna Senapang Buatan

| March 24, 2020 | 0 Comments

Cucu Gurau Tembak Nenek Sendiri Guna Senapang Buatan | GURAUAN seorang cucu dengan neneknya bertukar cemas apabila wanita warga emas itu pengsan selepas terkena tembakan di kepala oleh cucunya menggunakan senapang buatan sendiri.

Kejadian dilaporkan berlaku lebih kurang 11.30 pagi semalam, apabila cucu perempuan berusia 16 tahun itu dikatakan tidak sengaja tertembak mangsa.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, kejadian berlaku ketika remaja itu bergurau dengan neneknya.

“Mangsa cedera di bahagian atas kening sebelah kanan akibat tembakan itu dan dibawa ke Hospital Umum Sarawak di Kuching untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, bapa remaja berkenaan yang juga anak kepada mangsa membuat laporan di Balai Polis Serian.

Susulan itu, katanya cucu mangsa ditahan untuk membantu siasatan dan senapang yang digunakan turut dirampas.

Katanya, senapang itu dimiliki oleh adik remaja berkenaan, yang turut ditangkap.

“Difahamkan dia belajar membuat senapang itu daripada Youtube,” katanya.

Aswandy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960.

Sumber : Harian Metro

Tags: , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *