Cucu Terkejut Dengar Nenek Menjerit, Air Sungai Berkocak. Rupanya Ini Yang Terjadi.. | Kota Marudu: Seorang wanita warga emas disahkan maut akibat kecederaan parah selepas diserang buaya dalam kejadian di Sungai Bengkoka, di Kampung Sinasak Batu Pitas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa berusia 66 tahun dikatakan diserang ketika bersama cucunya membaiki pam air di sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, siasatan awal mendapati, mangsa berada di lokasi kejadian bersama cucu perempuan berusia sembilan tahun.

Katanya, ketika membetulkan pam air di sungai berkenaan, seekor buaya menyerang mangsa secara tiba-tiba.

“Menurut cucu mangsa, dia terkejut selepas terdengar jeritan neneknya dan melihat air sungai di tempat mangsa berada sebelum itu turut berkocakan.

“Kanak-kanak terbabit kemudiannya melihat kelibat seekor buaya yang menyerang mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zairolnizal berkata, mangsa berjaya melepaskan diri dengan bantuan penduduk kampung sebelum dihantar ke Hospital Pitas untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada 1.20 tengah hari ketika mendapatkan rawatan.

“Pegawai perubatan bertugas memaklumkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala disebabkan kesan gigitan buaya. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

SUMBER : Harian Metro

Share.

Leave A Reply