Seorang tukang rumah warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini kerana mencuri motosikal majikannya, hujung Mei lalu.

Curi Motosikal Majikan, 'Ini' Hukuman Yang Bakal Dihadapi Lelaki Warga Asing

Perbuatan seorang tukang rumah warga Pakistan mencuri motosikal majikannya kerana berang gajinya tidak dibayar menerima balasan apabila dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Umar Farook, 22, mengekalkan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan itu pada sebutan kes hari ini.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 16 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, Umar didakwa dengan niat curang mencuri motosikal Honda FS 150 bernilai RM8,000 kepunyaan Mohd Zamri Sahari, 34, di tapak projek Jalan Bukit Duyong, kira-kira jam 5.30 petang pada 30 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sherina Farhana Nor Sa’ari yang melakukan pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun, merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan menanggung ibunya yang berusia di Pakistan dengan mengirim wang setiap bulan hasil bekerja kontrak membina rumah.

Mengikut fakta kes, pada tarikh kejadian di Jalan Bukit Duyong pengadu mendapati motosikalnya hilang.

Pengadu kemudian dimaklumkan oleh pekerjanya motosikal itu digunakan oleh seorang lelaki Pakistan ketika ketiadaan pengadu.

Tertuduh akhirnya ditahan ketika menunggang motosikal itu dalam sekatan jalan raya di Karak, Pahang pada 16 Julai lalu selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati, motosikal itu dilaporkan hilang bersangkut laporan di Balai Polis Kandang dan tertuduh menyatakan dia mencuri kerana gajinya membuat rumah melebihi RM5,000 tidak dibayar.

Sumber: Berita HarianĀ 

Share.

Leave A Reply