Dakwaan Polis Kasari Lelaki Di IPD Serdang Tidak Benar – KP Selangor | Seringkali kita lihat dan dengar pelbagai berita yang tidak diigini berlaku meskipun pada ketika ini negara kita sedang dilanda pandemik Covid-19.

Dakwaan Polis Kasari Lelaki Di IPD Serdang Tidak Benar - KP Selangor

Shah Alam: Polis Selangor menyangkal dakwaan berkaitan seorang lelaki dikasari ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada minggu lalu.

Berikutan itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, satu kertas siasatan dibuka bagi menjalankan siasatan terhadap laporan yang dibuat lelaki itu.

“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kini mengambil-alih siasatan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, lelaki berkenaan pada ketika itu hadir ke IPD Serdang untuk dirakam percakapan bersabit satu laporan keganasan rumah tangga yang dilaporkan oleh isterinya. Namun, ketika berada di IPD berkenaan, suspek terserempak dengan isterinya dan mengugut mahu membunuh wanita berkenaan serta bertindak agresif.

Dalam pada itu, polis kemudiannya menasihatkan suspek agar jangan membuat bising di kawasan balai, namun suspek tidak mengendahkan nasihat yang telah diberikan sebaliknya mengeluarkan kata-kata kesat kepada polis serta sekali lagi bertindak agresif.

“Semasa proses tangkapan terhadap suspek, berlaku bergelutan dan pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan paling minimum.

“Suspek ditangkap atas kesalahan Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 509 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methampethamine.

Menurutnya, semakan rekod lampau suspek turut mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau atau pelbagai kesalahan jenayah kekerasan dan narkotik.

“Pada Jumaat lalu, suspek dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, suspek yang tidak mengaku diberi jamin oleh pihak mahkamah dan kemudiannya dia membuat satu laporan di Balai Polis Bandar Kinrara dengan mendakwa dipukul dan dikasari oleh pihak polis ketika hadir memberi keterangan bersabit kes keganasan rumah tangga,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply