Pengarah Biro Mobilisasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohd Sany Hamzan dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dana RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Dana RM600b: Sany Serah Memorandum Ke Istana Negara, Dipanggil SPRM Esok

Mengesahkan perkara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer berkenaan, memaklumkan beliau akan memberi keterangan kepada SPRM di Ipoh, Perak, esok.

Semalam, beliau yang membuat laporan polis berhubung isu berkenaan pada 30 November lalu, memaklumkan akan membawa bukti termasuk dokumen berkaitan dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion itu jika dipanggil SPRM.

Mohd Sany juga memaklumkan, pihaknya sedang mengumpul pelbagai bukti pelanggaran serius prosedur itu dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Timbalan Pengarah Mobilisasi Pakatan Harapan (PH) itu antara yang lantang membangkitkan isu berkenaan, menuntut pihak berkuasa menyiasat dan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden BERSATU memberi penjelasan ke mana dana itu dibelanjakan.

Hari ini, beliau ke Istana Negara menyerahkan memorandum memohon perkenan Raja-Raja Melayu untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu itu, termasuk bagaimana dana dibelanjakan dan dakwaan projek runding terus diluluskan ketika Parlimen digantung ketika pandemik COVID-19.

Jelasnya, rakyat ingin tahu huraian perbelanjaan wang oleh pembayar cukai itu bagi memastikan ia tidak disalahgunakan. Perbelanjaan mewah sebelum dan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) oleh pemimpin parti PN turut mendatangkan tanda tanya dari mana wang yang begitu besar diperoleh.

Jadi, katanya, kita harap RCI dapat menyiasat ke mana wang rakyat dibelanjakan tanpa melalui proses semak dan imbang kerana Dewan Rakyat tidak dapat berfungsi semasa pandemik COVID-19, selain dakwaan perbelanjaan serta kelulusan projek runding terus dibuat Muhyiddin ketika itu.

Menurutnya, tiada siapa yang dapat mengatasi undang-undang. Keluhuran dan kedaulatan undang-undang hendaklah terpelihara selaras dengan prinsip Rukun Negara.

Katanya, penubuhan RCI dengan segera akan membolehkan setiap perbelanjaan daripada RM600 bilion itu dimaklumkan kepada umum bagi mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat serta masyarakat antarabangsa, sekali gus membantu memulihkan ekonomi negara.

Jelasnya, suruhanjaya ini juga diharap dapat menjalankan siasatan dengan bebas dan telus tanpa campur tangan pihak berkepentingan kerana ia membabitkan bekas Perdana Menteri dan sejumlah angka yang amat besar.

Beliau memklumkan ini satu isu besar yang sebelum ini dibangkitkan oleh pimpinan PH dan turut dilaporkan sendiri oleh pemimpin PN. Justeru rakyat ingin mendapatkan penjelasan mengenai setiap perbelanjaan.

Mengenai bukti atau petunjuk dalam pengetahuannya, Mohd Sany berkata, menjadi tanggungjawab pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat.

Sany Hamzan Akan Kemuka Bukti Penyelewengan RM600b

Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH, Sany Hamzan akan membawa bukti termasuk dokumen berkaitan dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sany Hamzan Kemuka Bukti Penyelewengan RM600b

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sedang mengumpul pelbagai bukti pelanggaran serius prosedur itu dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Katanya, setakat ini pihaknya masih belum dipanggil oleh SPRM selepas membuat laporan polis pada 30 November lalu. Saya bersedia bekerjasama sepenuhnya dengan pelbagai pihak berkuasa apabila dipanggil.

Menurutnya, beliau juga akan hadir dengan bukti yang menunjukkan pelanggaran serius itu berlaku.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Taman Templer berkata setakat ini pihaknya hanya meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu dengan adil dan saksama.

Katanya, sekiranya tiada kesalahan atau penyelewengan berlaku, kita terima sahaja tetapi setakat ini kita musykil dengan perbelanjaan yang terlalu mewah oleh Perikatan Nasional (PN).

Ulasnya, disebabkan itulah kita membuat laporan polis dan menuntut siasatan dibuka.

Sany berkata, pihaknya juga akan ke Istana Negara esok bagi menyerahkan memorandum meminta Yang di-Pertuan Agong menyokong penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perkara itu.

SPRM dalam laporan media semalam, dilaporkan sudah membuka siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana terbabit.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa ada pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin.

Terdahulu, Muhyiddin dilapor menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.

Pengerusi PN itu menerusi hantaran di Facebook menjelaskan, tidak mungkin beliau menyeleweng dana itu memandangkan ia adalah wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank yang bukan di bawah kawalannya.

Beliau yang juga Presiden BERSATU juga menyatakan tidak pasti bagaimana angka RM600 bilion itu dipetik, jika pun ia merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan ketika menerajui kerajaan yang semuanya berjumlah RM530 bilion.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, pula dilapor berkata dakwaan penyelewengan dana bernilai RM600 bilion sebenarnya tidak wujud dan sekadar perang saraf lapuk untuk memburukkan pentadbiran Muhyiddin.

Sumber: Berita Harian, Berita Harian

Share.

Leave A Reply