Datang Pada Waktu Awal

| August 9, 2020 | 0 Comments

Datang Pada Waktu Awal |Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca .

Kalau cerita aku ini dipublish, terima kasih kepada admin . Aku sebenarnya tengah mengantuk yang teramat sangat dekat opis, tapi tak kan nak tidur pula. Sambil melayan rasa mengantuk aku, aku pun teringat peristiwa yang terjadi pada aku masa mula mula habis pkp tempoh hari. Aku rasa ada baik nya juga aku kongsi kan cerita aku dekat page, boleh juga hilang kan mengantuk dan nampak macam aku tengah buat kerja lah sebab menaip.

Aku merupakan staff baru dekat satu company ni, ini merupakan pekerjaan pertama aku lepas habis belajar. 3 tahun juga aku menganggur dan tidak terungkap rasa bersyukur aku apabila aku berjaya mendapat kan tawaran untuk bekerja di syarikat ini. Walapun tidak dinafikan aku stress sangat dengan kerja kerja aku, tapi aku tak nak mengalah. Lebih lebih lagi di zaman sekarang yang susah sangat nak cari kerja, ditambah pula dengan ramai orang yang kehilangan kerja di musim penyakit berjangkit ini.

Memang sejak kecil lagi aku seorang yang menepati masa, sejak daripada sekolah sehingga bekerja, aku tidak pernah lambat ke kelas atau ke office. Masa university juga, aku memastikan yang aku sampai ke kelas setengah jam awal daripada waktu nya. Aku ada terbaca yang aku ini mungkin ada time anxiety dimana aku resah jika lambat.

Tapi aku tak pernah kisah dengan time anxiety aku, aku rasa “it is a good trait”. Yelah datang awal bukan satu yang salah bagi aku, malah lebih bagus kerana aku menghormati waktu orang dan tidak membuang masa. Ke office pula, aku selalu sampai ke pejabat pada pukul 6.55 am, walaupun clock in pada pukul 8 tapi aku suka duduk di meja aku masa office masih kosong. Aku lagi suka menunggu daripada ditunggu.

Ceritanya bermula bila semua staff perlu bekerja di office semula. Tarikhnya 3 julai 2020, seperti biasa aku datang awal, memang aku yang membuka lampu untuk floor office aku. Bermaksud setiap kali aku datang ke pejabat ,floor aku memang gelap gelita, dan aku yang akan membuka semua lampu. Begitulah rutin aku hari hari. Tiada langsung perasaan takut dalam diri aku sebab aku tak pernah terfikir pulak benda benda ghaib ni sepanjang berada di office. Walaupun kawan kawan sepejabat aku selalu bercerita tentang angker nya bangunan pejabat kami ini, tapi setiap pagi tidak pernah terlintas difikiran aku yang aku akan di kacau juga.

3 Julai adalah hari jumaat, aku seperti biasa datang ke office awal hari itu, tapi memandang kan aku tengah h**d, aku datang ke pejabat lagi awal daripada biasa. Ini kerana aku tak perlu subuh dan boleh keluar rumah lagi awal. Aku naik lif ke floor aku dan setibanya di floor aku, aku dah rasa semacam, seakan aku tidak berseorangan, tapi aku biarkan saja. Aku malas nak menakutkan diri sendiri kerana aku tahu memang aku sorang saja di floor aku pagi ini.

Jam baru pukul 6.45 am, jadi aku bercadang mahu tidur di meja aku sementara menunggu rakan sekerja aku yang lain. Untuk ke meja aku, aku perlu melalui beberapa meja yang lain dan aku juga perlu melalui satu laluan yang dimana di tengah laluan itu ada pintu ke pantry pejabat kami. Laluan itu laluan yang panjang, laluan itu menghubung kan pintu bilik ke pejabat aku, pintu bilik ke pantry (ditengah) dan hujung laluan merupakan pejabat syarikat sebelah. Syarikat aku dan syarikat sebelah berkongsi pantry yang sama.

Aku buka lampu laluan itu dan mula membuka langkah untuk pergi ke pejabat aku. Sampai di bilik pejabat aku, aku buka lampu, kemas kemas meja dan berniat mahu membuat air di pantry. Jadi aku keluar mahu ke pantry dan alangkah terkejut nya aku, kerana bila aku keluar daripada bilik pejabat aku dan menuju ke pantry, ada susuk wanita di hujung laluan itu (syarikat sebelah). Wanita itu berambut panjang, berbaju kurung putih dan membelakangi aku. Aku sangat terkejut tapi sedikit lega kerana aku tahu aku tidak berseorangan. Walaupun aku pelik sebab pejabat sebelah itu masih gelap dan apa “akak” tu buat berdiri disitu.

Tapi aku malas ambil tahu dan terus memasak air menggunakan cerek elektrik. Bila aku nak bancuh air, baru aku perasan yang aku tertinggal green tea 3 in1 aku di pejabat. Jadi aku pun keluar daripada pantry dan menuju ke bilik pejabat aku, sebelum itu aku sempat menoleh untuk lihat mana “akak” baju putih tadi. Keadaan semakin pelik dan agak “creepy” bila “akak” baju putih tu semakin dekat dengan bilik pantry, yang tadi nya aku nampak samar samar, tapi sekarang aku nampak dia jelas.

Baju putih yang “akak” tu pakai seperti koyak dibahagian bawah dan rambutnya kusut masai. Okay, sejujurnya masa ni, aku dah rasa semacam, tapi aku lihat dia jelas disitu dan aku berfikir ‘takkan laa hantu kot’. Walaupun “akak” tu berdiri semakin dekat dengan bilik pantry tapi masih jauh daripada aku, jadi aku biarkan saja dan terus menuju ke bilik pejabat aku untuk mengambil green tea 3in1 kegemaran aku.

Setelah itu, aku keluar untuk menuju ke pantry semula dan aku terkaku kerana dalam keadaan masih membelakangi aku, “akak” tadi kini berada betul betul di depan pintu pantry itu. Kalau aku nak ke pantry, aku perlu lalu sebelah “akak” baju putih tu. Tanpa bergerak dan masih berada di pintu pejabat aku, aku cuba menegur “akak” itu, “Assalamualaikum, morning kak, dah breakfast ke? Akak ok ke? Akak company sebelah ke?”. Habis je aku bertanya, tiba tiba “akak” itu ketawa dan seakan menangis dan ketawa semula dan seakan menangis. Dari situ aku dah rasa serba tak kena, nak menangis ada, nak pengsan ada, nak terkucik ada dan mahu lari sejauhnya tapi kaki ku seakan terpaku.

Ayat kursi juga dah tak terfikir dalam otak aku, apa yang aku tahu aku kena lari sekarang juga, tapi kaki aku seakan tertanam, aku tak boleh bergerak. Dan belum sempat lagi aku berbuat apa apa, “akak” tadi mula menuju ke arah aku dengan perlahan, dengan masih membelakangi aku, dia perlahan lahan bergerak ke arah aku.

Pada saat itu, kaki aku dah boleh bergerak dan aku memulakan larian aku, dan “akak” baju putih itu juga mengejar aku, dia yang tadi bergerak perlahan terus berlari apabila aku mula berlari tetapi dia berlari dengan keadaan masih membelakangi aku. Aku terus menuruni tangga untuk keluar daripada bangunan itu.

Sampai saja di ground floor aku terserempak dengan security yang tadinya tidur di pintu depan. Lega terus rasanya, haritu aku mc dan seminggu demam selepas itu. Sejak daripada kejadian itu, walaupun aku datang awal tapi aku duduk dalam kereta sehingga rakan sepejabat aku yang lain sampai. Pengalaman yang tak mungkin aku lupa.

Kredit : Fiksyen Shasha

Tags: ,

Category: DUNIA, SERAM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *