“Datuk Dibebaskan, Kenapa Yasin Tak?”. Netizen Persoalkan Hukuman Tanam Ganja. | Seorang bekas diplomat yang ditahan kerana disyaki mengusahakan hampir 100 batang pokok ganja di halaman rumahnya di Janda Baik, Pahang pada 21 Mei lalu dibebaskan daripada tahanan polis semalam.

Menurut laporan Harian Metro, ia selepas polis gagal mendapatkan reman kali kedua terhadap individu berstatus Datuk berusia 78 tahun itu daripada Mahkamah Majistret Bentong.

Peguam mewakilinya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pemohonan reman kedua selama tujuh hari itu tidak dibenarkan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim.

“Majistret berpuas hati antara lain tiada bukti untuk mengaitkan individu berkenaan dengan apa-apa kesalahan,” katanya.

Bagaimanapun, segelintir netizen tidak berpuas hati mengenai keputusan tersebut dengan membandingkan kes sama dihadapi penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman.

Sebelum ini, penyanyi lagu Mimpi Laila itu ditahan atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja dan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya pada Mac lalu.

Meninjau komen berhubung laporan berkenaan di laman Facebook, rata-rata simpati dengan nasib Yasin yang menerima hukuman berbeza daripada Datuk terbabit.

Mereka menyifatkan keputusan tersebut seolah-olah tidak adil kerana Yasin kini menjalani kehidupan dalam penjara, manakala suspek dimaksudkan sudah dibebaskan.

Terdahulu, bekas diplomat itu dan anak lelakinya direman sehingga 28 Mei dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

SUMBER : Oh My Media

Share.

Leave A Reply