Demi Anak, Pengorbanan Bekas Askar Tinggal Di Khemah Buat Ramai Terharu

| July 2, 2020 | 0 Comments

Demi Anak, Pengorbanan Bekas Askar Tinggal Di Khemah Buat Ramai Terharu | Bekas tentera sanggup tinggal dalam khemah sejak lima tahun lalu kerana enggan berjauhan dari empat anak-anaknya selepas berpisah dengan isterinya di Kampung Teluk, Pasir Panjang, Port Dickson.

Mohamad Nor Saifuddin Abdullah, 44, atau lebih dikenali dengan nama ‘Din Iban’ di kalangan orang kampung bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di Pusat Pembangunan Belia dan Sukan yang terletak bersebelahan dengan Kolej Uniti lama tidak jauh dari tempatnya berkhemah.

“Saya selesa hidup macam ni kerana anak-anak boleh datang menziarahi saya sebilang masa dan saya masih memberi mereka wang belanja setiap kali dapat gaji kerana mereka tinggal bersama ibunya yang sudah berkahwin lain.

“Saya lebih dikenali dengan nama ‘Din Iban’ kerana memang orang Iban berasal dari Serian, Sarawak dan memeluk Islam setahun sebelum mengenali bekas isteri ketika dalam perkhidmatan tentera,” katanya ketika ditemui di khemahnya.

Katanya, dua tahun lalu ada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menularkan kisahnya tinggal di dalam khemah di pinggir hutan lipur di sini.

“Selepas itu ramai yang datang melawat termasuk badan kerajaan dan juga orang perseorangan dan Baitulmal turut menawarkan deposit rumah sewa jika saya tidak mampu ketika itu tetapi saya tolak dengan baik kerana lebih selesa tinggal di sini sebab dekat dengan laut bagi memudahkan saya mencari udang hidup untuk dijual kepada pemancing.

“Ketika itu memang saya susah kerana sudah berhenti dari perkhidmatan tentera, tidak berpencen selepas berkhidmat selama 16 tahun di kem Port Dickson tetapi tidak sanggup berjauhan dengan anak terutama yang bongsu berusia lapan tahun,” katanya

‘Din Iban’ berkata, ada juga yang memberi cadangan untuknya kembali ke kampung di Serian, Sarawak selepas bercerai pada lima tahun lalu.

“Di sini saya ada pekerjaan dan dekat dengan anak-anak.

“Tinggal dalam khemah tepi hutan lipur bukan asing bagi saya sebagai bekas tentera dan berasal dari kampung yang dikelilingi hutan malah ini lebih selesa kerana dekat dengan laut bagi memudahkan saya mencari rezeki tambahan,” katanya.

Sumber : HMetro

Tags: , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *