Dera Dua Kanak-kanak 1 Tahun, Pengasuh Taska Dihukum Penjara & Denda | Seorang pengasuh Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dipenjara tujuh hari dan didenda RM32,000 oleh dua Mahkamah Sesyen berasingan hari ini, kerana menganiaya termasuk menekup kepala dengan plastik dan menarik rambut dua kanak-kanak berusia setahun.

Siti Rosliza dipenjara bermula hari ini. - Foto hiasan

Siti Rosliza Mukhtar, berusia 47 tahun, dipenjara bermula hari ini dan akan dipenjara 18 bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman terbabit diputuskan oleh dua hakim, Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi dan Norina Zainol Abidin, selepas Siti Rosliza mengaku bersalah atas dua pertuduhan menganiaya kanak-kanak terbabit.

Mengikut pertuduhan, Siti Rosliza melakukan penganiayaan dengan menekup kepala kanak-kanak perempuan dengan plastik yang mungkin menyebabkan mangsa cedera fizikal dan emosi, di sebuah TASKA di Brickfields, 3.19 petang pada 16 November lalu.

Tertuduh juga didakwa melakukan penganiayaan dengan menarik dan mengheret tangan dengan kasar serta menarik rambut kanak-kanak lelaki, untuk mendudukkannya yang mungkin menyebabkan mangsa cedera fizikal di TASKA terbabit, pada jam 5.36 petang, tarikh sama.

Susulan itu, wanita berkenaan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Abdul Khaliq Nazeri, Timbalan Pendakwa Raya, memohon hukuman penjara dan denda dikenakan terhadap tertuduh yang bersifat pengajaran, mengambil kira faktor kepentingan awam serta menghantar isyarat jelas tiada tolak ansur terhadap kesalahan dilakukan.

Tertuduh sepatutnya lebih bertanggungjawab dan berhati-hati ketika mengasuh kanak-kanak. Kesalahan itu jelas penganiayaan kepada kanak-kanak.

Katanya sebagai orang dewasa, tertuduh boleh lihat kesan dan akibat tindakannya terhadap kanak-kanak itu.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub, berkata tertuduh sebagai pengasuh sepatutnya menjaga kanak-kanak dengan baik seperti diamanahkan oleh ibu bapa mereka.

Beliau kata, tertuduh yang tiada rekod jenayah menekup kepala mangsa dengan plastik dan ia membahayakan serta mengakibatkan kecederaan serius kepada kanak-kanak itu.

Beliau juga menyatakan bahawa beliau memohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh yang didakwa kerana menganiaya mangsa.

Susulan itu, Siti Rosliza yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana menanggung ibu yang rabun serta adik-beradik lain.

Katanya, beliau tidak berkahwin dan ketika ini menumpang di rumah adik dan juga juga perlu melunaskan kembali bayaran pinjaman di syarikat lama bekerja.

Sumber: Berita Harian

 

Artikel Lain

Kanak-kanak 3 Tahun Maut Didera Pengasuh. ‘Ini’ Tindakan Polis..

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dipercayai didera ketika di bawah jagaan pengasuh di sebuah kediaman di Taman Skudai, di sini, Ahad malam.

Kanak-kanak 3 Tahun Maut Didera Pengasuh. 'Ini' Tindakan Polis..

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, susulan itu polis hari ini menahan lelaki tempatan berusia 28 tahun yang juga rakan bapa mangsa, serta pembantu rumahnya, wanita warga asing berusia 40 tahun.
Katanya, kedua-dua mereka dipercayai menjadi pengasuh kanak-kanak terbabit.
Beliau berkata, polis menerima aduan mengenai kematian kanak-kanak itu pada jam 11 malam Ahad.
Jelasnya, aduan itu dibuat bapa mangsa, sejurus dia dimaklumkan mengenai perkara terbabit daripada suspek lelaki sendiri.
Katanya, berdasar siasatan awal, mangsa yang sepatutnya dijaga oleh pengasuh telah diabaikan dan (suspek) telah menggunakan kekerasan sehingga menyebabkan kematiannya.
Tambah kamarul, pemeriksaan awal menemui kesan lebam dan luka pada badan mangsa dan mayat telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat.
Difahamkan, menurut beliau, kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply