Dewan Panas, MP Pasir Salak Gelar Ahli Parlimen Wanita Mulut Jahat | KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat gamat apabila Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) menggelar sebahagian ahli Parlimen wanita DAP berperangai tidak senonoh dan bermulut jahat.

Dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual di Dewan Rakyat, Tajuddin mencelah ketika Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) sedang berbahas dan membidas dakwaan Teo Nie Ching (PH-Kulai) bahawa beliau sering membuat kenyataan berbaur seksis kepada Ahli Parlimen wanita.

“Jangan senang-senang tuduh kita tak hormat wanita, kita banyak membantu wanita, …tolong ajar sikit.

“Hanya perangai wanita DAP tidak senonoh, bukan semua tetapi sebahagian daripada kamu …mulut jahat, kaki cucuk, kaki hasut, kaki cabar Speaker,” katanya.

Tuduhan Tajuddin itu mencetuskan kegawatan apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangkit memohon Ahli Parlimen Pasir Salak itu menarik balik kenyataan dan memohon maaf.

P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) kemudiannya meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengambil tindakan terhadap Tajuddin.

RSN Rayer (PH-Jelutong) turut meminta Tajuddin menarik semula kenyataannya yang didakwa menjatuhkan maruah wanita dan mempersoalkan tindakan Timbalan Yang Dipertua yang tidak berani mengarahkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu keluar.

Mohd Rashid kemudiannya memberi amaran kepada Tajuddin supaya tidak mengulangi kenyataannya itu dan meminta ahli Parlimen yang tidak berpuas hati supaya membuat usul.

Semalam, ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual, Nie Ching mendakwa sekurang-kurangnya ada tiga Ahli Parlimen iaitu Kinabatangan, Pasir Salak dan Baling sering membuat kenyataan berbaur seksis kepada wakil rakyat wanita dalam Dewan Rakyat.

Sementara itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) turut mencelah ketika Kasthuriraani berbahas mengenai RUU itu dengan mempersoalkan sama ada menyebut perkataan ‘kalau saya gelap saya pakai bedak’ adalah suatu kenyataan berbentuk seksis.

“Pertama kali pada Julai 2020 perkataan itu disebut dan sayapun sudah menarik balik dan minta maaf.

“Ia sangkaan jahat hendak menjatuhkan maruah ahli Parlimen (yang dituduh seksis) yang ada di sini,” katanya.

Terdahulu, Kasthuriraani dalam perbahasaan RUU itu menyebut dirinya pernah berdepan tindakan seksis apabila Abdul Azeez menyebutnya gelap dan meminta dirinya memakai bedak.

SUMBER : BH

Share.

Leave A Reply