“Dia Hanya Memaklumkan Hajatnya Untuk Membeli Sebuah Kereta”.

| March 3, 2021 | 0 Comments

“Dia Hanya Memaklumkan Hajatnya Untuk Membeli Sebuah Kereta”. | KUALA LUMPUR – Hasrat seorang pekerja kilang, Nurina Edwin Abdullah untuk membeli sebuah kereta tidak kesampaian apabila dia maut dalam insiden perancah besi pembinaan Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) menghempap sebuah van kilang di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di sini pada Rabu.

Pekerja swasta, Muhammad Raffidin Mohd Jufri, 33, berkata, adik iparnya itu meluahkan hasrat untuk membeli kereta ketika pertemuan terakhir dengannya pada Selasa.

“Tiada apa-apa perubahan ketika kali terakhir saya bertemu dengan arwah. Nurina Edwin hanya memaklumkan hajatnya untuk membeli sebuah kereta,” katanya kepada pemberita di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, di sini pada Khamis.

Muhammad Raffidin berkata, Nurina Edwin merupakan anak kedua daripada tujuh beradik.

“Nurina Edwin baru kematian suaminya pada tahun lalu,” katanya.

Muhammad Raffidin memaklumkan keluarganya kini sedang menunggu maklumat daripada polis sebelum jenazah dibawa pulang ke Lundu, Kuching, Sarawak.

Dalam kejadian jam 6 petang pada Rabu, pemandu van kilang, Muhd Fairus Mohd Yusof, 47, mengalami patah tulang bahu sebelah kiri, bengkak pada paru-paru dan berlaku pendarahan dalaman.

Dua lagi penumpang van, Zaitun Zainal, 54, cedera kaki sebelah kiri, manakala Zakiyyah Yakop, 51, cedera betis kiri.

Mangsa yang meninggal dunia adalah Nurina Edwin, 47, dan Norhayati Abdullah, 42.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, insiden berlaku apabila treler dipandu seorang lelaki melalui Lebuhraya MRR2 dan apabila sampai di lokasi kejadian, bahagian atas trelernya berlanggar kerangka besi pada pembinaan di jejantas pejalan kaki.

“Kejadian itu menyebabkan rusuk keluli bersama perancah besi terjatuh di kedua-dua laluan Lebuhraya MRR2 dan menghempap van pekerja kilang yang bergerak dari laluan Ampang menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

“Van pekerja kilang itu terhempap di bawah rusuk keluli yang terjatuh,” katanya

Sumber : SH

Tags: , , , , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *