Diculik Di Washington, Jumpa Di Mexico | Kanak-kanak yang diculik di pusat beli-belah di Washington, Amerika Syarikat (AS) pada 2018, ditemukan dalam keadaan hidup dan sihat di Mexico.

Perkara itu disahkan Pegawai Penyiasatan Persekutuan (FBI), Richard A Collodi yang bertanggungjawab mengendalikan kes itu.

Menurut Collodi, Aranza Maria Ochoa Lopez berusia empat tahun ketika kali terakhir dilihat dalam lawatan diawasi bersama ibu kandungnya di pusat beli-belah di Vancouver, Washington.

Katanya, ibu Aranza ditahan pada 2019 di Puebla, Mexico, tetapi anak muda itu, yang kini berusia lapan tahun, dilaporkan hilang sehingga dia ditemukan di Michoacan, Mexico, pada Februari lalu, dan kini dikembalikan ke AS, kata pegawai.

Selama lebih empat tahun, FBI (Biro Penyiasatan Persekutuan) dan rakan kongsi kami tidak berputus asa terhadap Aranza.

Kata ejen khas itu yang bertanggungjawab ke atas pejabat lapangan FBI di Seattle sekarang bahawa mereka akan membantu Aranza ketika dia memulakan integrasi semula ke AS.

Ibunya, Esmeralda Lopez-Lopez, mengaku bersalah pada Januari 2021 atas penculikan dan rompakan peringkat dua, serta campur tangan tahanan peringkat pertama di Mahkamah Tinggi Clark.

Dia menerima hukuman penjara 20 bulan, menurut The Columbian.

Sebelum kejadian culik itu, kanak-kanak itu berada dalam jagaan negeri ini selepas ditempatkan dalam jagaan angkat pada 2017, berikutan aduan bahawa dia didera oleh ibunya.

Wanita terbabit diberikan hak lawatan anaknya, dua kali seminggu melihat anak perempuannya.

Pada masa kejadian, dia membawa anak perempuannya ke tandas di pusat beli-belah sebelum melarikan diri bersama kanak-kanak itu.

Sumber: Harian Metro

 

Artikel Lain

Budak 8 Tahun Hampir Jadi Mangsa Culik Di Kelantan.

Budak 8 Tahun Hampir Jadi Mangsa Culik Di Kelantan. | PASIR PUTEH – Seorang murid tahun dua berdepan detik cemas apabila dia dipercayai diajak empat lelaki yang tidak dikenalinya untuk menaiki sebuah kereta semasa berada di depan sekolah di Selising di sini semalam.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 4.30 petang semasa kanak-kanak berusia lapan tahun itu sedang menunggu ibunya untuk menjemput pulang dari sekolah.

Bapa kanak-kanak itu, Ahmad Ismail, 57, berdasarkan cerita anaknya, salah seorang lelaki memaklumkan kepadanya bahawa saya dan isteri tidak datang menjemput kerana pergi ke klinik.

Menurutnya, cemas apabila disapa oleh individu tidak dikenali, anaknya terus bertindak dengan melarikan diri masuk semula ke dalam sekolah.

“Dia sempat melihat empat lelaki itu, namun tidak pasti kereta yang dinaiki mereka. Saya amat bersyukur kerana dia bertindak pantas dengan masuk semula ke dalam sekolah. Alhamdulillah, dia selamat.

“Saya membuat pendedahan ini bertujuan untuk memberi kesedaran khususnya ibu bapa agar cakna terhadap anak-anak. Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam kes ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, dia sentiasa mengingatkan anak kelima daripada enam beradik itu agar tidak mengikut orang yang tidak dikenali terutamanya semasa pulang dari sekolah.

Katanya, dia bersyukur apabila anaknya mendengar nasihat itu sekali gus dapat mengelakkan daripada berlaku kejadian culik.

Sementara itu, Ketua Polis Daearah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi berkata, tiada sebarang laporan dibuat berhubung kes itu setakat ini.

Menurutnya, sebarang berita yang boleh mecetuskan kebimbangan orang ramai perlu disemak dengan teliti dan disahkan dengan pihak polis terlebih dahulu.

“Saya nasihatkan orang ramai tidak menyebarkan menularkan berita tidak sahih yang menimbulkan kegusaran orang ramai menerusi media sosial. Sebaliknya terus melaporkan kepada polis jika ada kesahihan kejadian itu,” katanya.

Tambah Zaizul Rizal, individu yang menyebarkan berita tidak berasas boleh didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook milik seorang lelaki yang memaklumkan bahawa anaknya nyaris menjadi mangsa culik di sebuah sekolah di Pasir Puteh.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan orang ramai bimbang apabila banyak cubaan culik kanak-kanak berlaku sejak akhir-akhir ini.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply