Seorang pelakon wanita dan bekas model didenda RM20 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mabuk dan membuat kacau di sebuah restoran, 5 Januari lalu.

Didenda RM20, Pelakon Wanita Buat Kecoh Akibat Mabuk

Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman itu terhadap Persana Avril Sollunda, 40, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sehari sekiranya gagal membayar denda itu bagaimanapun tertuduh membayar denda berkenaan.

Wanita tempatan itu melakukan kesalahan berkenaan di sebuah restoran di Damai Plaza Luyang di sini pada jam 11 malam, 5 Januari lalu mengikut Seksyen 510 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara hingga 10 hari atau didenda tidak melebihi dua puluh ringgit atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dilihat mabuk, gagal mengawal diri, berkelakuan tidak senonoh serta mengganggu pelanggan lain.

Pasukan polis yang tiba di lokasi segera menahan tertuduh yang ketika itu dipegang beberapa pekerja restoran bagi mengelakkan tertuduh membuat kacau di restoran berkenaan.

Tertuduh kemudiannya direman selama lima hari untuk siasatan dan hasil semakan lanjut mendapati tertuduh mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tertuduh juga tersenarai sebagai orang dikehendaki di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 yang dilakukan pada 2016.

Sebelum ini, tertuduh pernah ditularkan di media sosial pada 23 April 2015 kerana berkelakuan lucah di Petaling Street Kuala Lumpur.

Selepas dituduh mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan bagi kesalahan tersebut, Majistret Nur Aminahtul Mardhiah mengenakan Bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM4,000 bagi tertuduh.

Sumber: BH

BERITA LAIN YANG BOLE DIBACA..

Kakak Dituduh Dera, Pasangan Kekasih Dituduh Bunuh Kanak-kanak 4 Tahun.. 

Sepasang kekasih berusia 25 dan 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan bersama membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dikenali sebagai Lokman.

Kakak Dituduh Dera, Pasangan Kekasih Dituduh Bunuh Kanak-kanak 4 Tahun.. 

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Izwan Mahmood, 25, dan gadis bawah umur itu telah membunuh kanak-kanak yang tidak mempunyai MyKid itu antara jam 8 pagi hingga 2 petang di Felda Semenchu Teluk Sengat Kota Tinggi, antara 10 hingga 23 Disember tahun lalu.

Dengan itu mereka telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang membawa hukuman mati.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan tiada sebarang rekod pengakuan diambil.

Majistret Nurasidah A Rahman menetapkan 22 Februari ini untuk tarikh sebutan semula kes.

Dalam pada itu, di mahkamah yang sama, kakak kandung mangsa bunuh berkenaan, Nurul Natashah Danial @ Zainal, 20, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mendera adiknya itu di Jalan Kampung Sri Pantai, Senggarang di sini sekitar November hingga Disember tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak lelaki itu, tertuduh telah menganiaya iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan jam lebih kurang 10 pagi hingga 10 malam pada tempoh berkenaan dan oleh yang demikian tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos tidak menawarkan sebarang jaminan untuk tertuduh.

Tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Dalam pada itu, Majistret Nurasidah A Rahman menetapkan tarikh 12 Januari ini supaya permohonan jaminan untuk anak guam Song Yan didengar di Mahkamah Sesyen Batu Pahat.

Terdahulu media melaporkan, kakak kepada budak lelaki berusia empat tahun yang maut, dipercayai didera di Senggarang, Batu Pahat pada Isnin minggu lalu antara tiga individu akan didakwa di mahkamah esok.

Semalam Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata polis sudah mendapat arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh ketiga-tiga suspek berkenaan di Mahkamah Majistret Batu Pahat.

Share.

Leave A Reply