Menurut Nor Zuraidah Zainon, 29, keadaan anaknya, Wan Aliff Danish Wan Mohd Naim, 10, masih kritikal tetapi stabil malah dia sedang ditidurkan ketika ini bagi membolehkan dia berehat.

Dihempap Tiang Elektrik, 'Ini' Keadaan Terkini Dua Kanak-Kanak Terlibat..

Jelasnya, doktor memaklumkan ada pendarahan pada paru-parunya, luka di bahagian hati serta tulang bahagian mukanya retak sikit.

Nor Zuraidah berkata, anaknya masih tidak sedarkan diri akibat dihempap longgokan tiang elektrik di Kampung Belukar, Jalan Kampung Darat, Changlun, semalam.

Menurutnya, anak sulung dari tiga beradik itu sedang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini manakala sepupunya, Wan Faiz Ikram Wan Zaidy, 13, masih dirawat di Hospital Jitra.

Nor Zuraidah berkata, anaknya sedar pada tengah hari tadi sebelum dia ditidurkan semula untuk proses pemulihan pada paru-parunya.

Ketika menceritakan semula kejadian itu katanya, dia dan suaminya, Wan Mohd Naim Wan Fadzilah, 30, baru pulang berniaga di Pekan Changlun dan nampak Wan Aliff Danish ketika itu sedang makan nasi di rumah mereka yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Ujarnya, lepas makan nasi, dia keluar bermain dengan kawan dan sepupunya tetapi dalam 10 minit kemudian,  dia dimaklumkan kejadian itu berlaku.

Jelasnya, sebelum itu memang tak sedap hati tetapi benda dah jadi dan berharap supaya anaknya sembuh sepenuhnya.

Dalam kejadian jam 5.33 petang semalam, tiga kanak-kanak dihempap longgokan tiang elektrik di Kampung Belukar, Jalan Kampung Darat menyebabkan seorang daripadanya meninggal dunia manakala dua lagi mengalami kecederaan.

Mangsa yang meninggal dunia, Muhammad Aqil Wafiq Ruslizan, 10, mengalami kecederaan parah di kepala dan muka manakala Wan Aliff Danish Wan Mohd Naim, 10, masih kritikal dan Wan Faiz Ikram Wan Zaidy, 13, patah paha.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, bedah siasat terhadap jenazah Muhammad Aqil Wafiq dilakukan pada jam 10 pagi tadi di Jabatan Forensik HSB di Alor Setar

Beliau berkata, dua lagi mangsa masih dirawat di HSB dan HJ ketika ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, ketika kejadian tiga kanak-kanak terbabit sedang bermain di atas longgokan tiang elektrik berkenaan dan kejadian berlaku apabila sebatang kayu penyendal tiang itu patah menyebabkan tiang itu bergolek dan menghempap tiga kanak-kanak itu.

Katanya, bagaimanapun kejadian itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

Al- Fatihah! Kanak-kanak Maut Dihempap Tiang Elektrik

Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia, manakala dua rakannya tidak sedarkan diri selepas dihempap tiang elektrik ketika bermain di Jalan K16, Kampung Belukar, di sini, hari ini.

Al- Fatihah! Kanak-kanak Maut Dihempap Tiang Elektrik

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata mangsa yang meninggal dunia berusia 10 tahun dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala, manakala dua lagi kanak-kanak berusia 10 tahun dan 11 tahun, masing-masing mengalami kecederaan pada bahagian paha dan pinggang.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan. Hasil siasatan mendapati, tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, berkata kanak-kanak terbabit, dipercayai bermain berdekatan tiang elektrik yang dilonggokkan di tepi jalan berkenaan, yang kemudiannya jatuh dan menghempap mangsa.

Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.33 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Azman Shahidan bergegas ke lokasi kejadian.

Jelasnya, setibanya di lokasi, komander operasi menerima maklumat tiga mangsa berusia sekitar 11 tahun dipercayai bermain berdekatan tiang elektrik yang dilonggokkan di tepi jalan berkenaan sebelum ia terjatuh dan menghempap mangsa.

Katanya, seorang kanak-kanak didapati sudah meninggal dunia, manakala dua lagi kanak-kanak tidak sedarkan diri. Mereka dikeluarkan daripada longgokan tiang oleh orang awam dan kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut.

Sumber: Berita Harian, Berita Harian

Share.

Leave A Reply