Dikritik Oleh Tun M. Ini Jawapan Syed Saddiq.

| September 3, 2020 | 0 Comments

Dikritik Oleh Tun M. Ini Jawapan Syed Saddiq. | Sekalipun usaha untuk mengasaskan parti politik khusus untuk golongan muda menerima maklum balas negatif daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih berlapang dada dan menghargai pandangan mentornya itu.

Tun M vs Syed Saddiq

“Terima kasih Tun. Kami terima kritikan dengan hati yang terbuka,” kata Ahli Parlimen Muar itu di Twitter peribadinya.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi dalam sidang media pada pagi ini berpendapat, tindakan Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan untuk menubuhkan parti politik baharu tidak akan berjaya.

Ini kerana, kata bekas Perdana Menteri itu, model parti politik baharu itu tidak sesuai.

Menurut Dr Mahathir, meskipun peratusan orang muda dalam pengundian adalah besar, namun ia masih belum mencukupi untuk mereka memenangi sesebuah kawasan.

“Dalam mana-mana kawasan, mesti kena ada orang tua dan orang muda. Kami akan pergi kepada golongan muda juga.

“Kalau dia (Syed Saddiq) hanya pergi kepada orang muda, agak sukar untuknya berjaya. Tetapi ini adalah negara bebas, dia mahu lakukannya sendiri.

“Dia pernah menjadi penyokong kuat Pakatan Harapan (PH), dan kini, dia rasa perlu bergerak berasingan daripada kami,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Syed Saddiq selama ini dikenali sebagai penyokong Dr Mahathir

Ahli politik yang bakal berusia 28 tahun pada Disember ini pernah menyertai kem Dr Mahathir dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di mana beliau merupakan Ketua Pemuda parti itu.

Bersatu merupakan sebahagian daripada gagasan Pakatan Harapan yang menerajui kerajaan Persekutuan selama 22 bulan.

Selepas kerajaan PH runtuh, Dr Mahathir, Syed Saddiq serta pemimpin-pemimpin lain digugurkan daripada Bersatu.

Dr Mahathir bersama pemimpin-pemimpin yang digugurkan kemudiannya menubuhkan parti Pejuang, sementara Syed Saddiq memilih untuk mengasaskan parti politik untuk golongan muda.

Dalam reaksi yang sama, Syed Saddiq berkata, parti baharu yang akan diasaskannya itu kelak adalah untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Majoriti yang akan memimpin adalah golongan teknokrat, profesional, usahawan, petani moden, pemimpin persatuan sivil dan lain-lain.

“Kami mungkin muda tetapi kami menyayangi Malaysia,” kata Syed Saddiq lagi.

Sumber : Astro Awani Dan Twitter Syed Saddiq

Tags: , , , , ,

Category: INFORMASI, POLITIK, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *