Disyaki Curi Barang Kemas, Pembantu Rumah Dirantai Oleh Majikan | KAJANG – Sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes seorang pembantu rumah warga Indonesia yang ditemukan dirantai di sebuah flat di Taman Tenaga di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, suami isteri berusia 40 dan 50-an yang juga majikan kepada mangsa telah ditahan di sini pada Rabu.
Pasangan tersebut telah ditahan reman selama dua hari bermula hari ini (Khamis) hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan yang salah.
“Mangsa tiada sebarang trauma dan telah kembali ke kediamannya,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Pada Rabu, media melaporkan orang ramai terdengar jeritan seorang wanita berusia 40-an di sebuah rumah di tingkat dua flat berkenaan pada jam 9 malam, Ahad.
Orang ramai telah menghubungi pihak polis untuk membuat pemeriksaan, polis kemudian memecah pintu rumah itu dan seorang wanita ditemukan dalam keadaan dirantai dan lesu di dalam bilik air.
Mangsa dirantai di dalam bilik air oleh pasangan berkenaan kerana disyaki mencuri barang kemas.
Sumber: Sinar Harian
Baca Juga: Pelajar 17 Tahun Gemar Menyendiri, Hilang Tanpa Jejak Hampir 3 Hari | SEORANG pelajar lelaki berusia 17 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat berpakaian hitam di rumah keluarganya dekat Bandar Baru Klang, Selangor pada Isnin.
Izanur Hossain, 17, yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Sri Acmar, Klang, gagal dihubungi pihak keluarganya selepas tidak hadir ke sekolah pada hari sama.
Menurut adiknya, Hazim Yamen, 14, abangnya tidak keluar bilik tetapi hanya terdengar suaranya sahaja selepas beberapa kali dikejutkan untuk ke sekolah pada hari tersebut.
Katanya, ketika kejadian, kedua ibu bapanya berada di Rawang, Selangor.
Jelasnya, sudah menjadi kebiasaan buat dua beradik itu berjalan kaki ke sekolah bersama pada setiap hari, namun pada hari tersebut, Yamen terpaksa bersendirian selepas abangnya lewat bangun untuk ke sekolah.
Mula menyedari abangnya tidak hadir ke sekolah pada hari itu, Yamen kemudiannya terus bergegas ke rumah untuk melihat keadaan abangnya.
“Saya mula sedar abang tidak hadir ke sekolah apabila sesi sudah tamat sekitar pukul 3 petang.
“Sebaik tiba di rumah, pintu pagar luar rumah tidak berkunci dan saya terus ke bilik abang dan ketuk pintu biliknya tetapi tidak berjawab, jadi saya ingatkan dia tidur.
“Saya pun biarkan sampai pukul 7 malam, selepas itu bila saya masuk tandas, ada duit RM50 dan kepingan kertas bertaburan di lantai.
“Agak panik ketika itu, pintu bilik abang berkunci dan saya terus ambil gunting umpil pintu biliknya sampai terbuka. Sebaik masuk saya tengok telefon pintar dia dah tak ada gambar, nombor dan mesej Whatsapp sudah hilang,” ujarnya kepada Majoriti.
Jelasnya, terdapat nota tulisan tangan yang ditinggalkan di atas meja bilik abangnya dan perkara itu mengundang kerisauan buat keluarganya selepas Izanur Hossain gagal dihubungi.
“Ada memo yang ditinggalkan, bertulis “Jaga diri semua, selamat tinggal” atas meja bilik abang dan beberapa rakannya juga turut menerima pesanan yang sama melalui Whatsapp,” katanya.
Tambahnya, dia sekeluarga tidak tahu apakah punca sebenar perkara itu berlaku dan setakat yang mereka tahu abangnya tiada sebarang masalah dengan mana-mana pihak ataupun musuh yang boleh dikatakan sebagai suspek kejadian.
Selain itu, kelakuan abangnya juga yang semakin kurang berinteraksi dan gemar menyendiri beberapa hari lalu turut meninggalkan persoalan dalam kalangan keluarganya namun tiada andaian dibuat sebelum kejadian itu berlaku.
Difahamkan pihak keluarga Izanur telah membuat laporan kehilangannya di Balai Polis Klang Utara.
Setakat ini, masih belum ada sebarang penemuan dilaporkan pihak polis dan siasatan masih dijalankan berhubung kes tersebut.
Sumber: Majoriti