Ditanya Berkurung Zaman Jepun & Komunis. Ini Respon Nenek 93 Tahun Pada Yang Masih Ingkar

| March 31, 2020 | 0 Comments

Ditanya Berkurung Zaman Jepun & Komunis. Ini Respon Nenek 93 Tahun Pada Yang Masih Ingkar | Ditanya berkenaan perintah berkurung sekarang adakah seperti berkurung zaman jepun dan komunis. Ini respon dari nenek 93 tahun yang ramai patut ambil iktibar.

Berkurung Zaman Jepun Dan Komunis Lebih Lama

“MAKCIK tak kisah berapa lama pun berkurung kerana mak cik dulu sudah alami perkara macam hari ini,” kata Mariam Yusoff, 93, di Kampung Limau Kasturi, dekat Gua Musang.

Katanya, dia tidak pernah merasai kesusahan larangan amaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia berkata, arahan itu yang berkuatkuasa 18 Mac lalu hingga 14 April ini berikutan wabak Covid-19 memberi banyak peluang berehat.

“Di samping itu, dapat juga mak cik berzikir dan mengaji al-Quran berbanding sebelum ini banyak berjalan ke rumah anak-anak.

“Mak cik juga tidak faham sangat segala arahan kerana penyakit itu tetapi banyak nasihat diberikan anak serta jiran terdekat,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sambungan PKP sehingga 14 April depan kerana penularan wabak Covid-19.

Sebelum itu, beliau sudah mengambil langkah penguatkuasa arahan PKP terbabit selama 14 hari bermula 18 Mac hingga 31 Mac.

Menurut Mariam, lebih lama lagi berkurung ketika zaman Jepun dan serangan komunis.

Katanya, keadaan itu diibaratnya nyawa berada di hujung senapang berbanding sekarang hanya berdepan dengan risiko penyakit.

“Mak cik sekarang ini tidak mempunyai sebarang tanggungjawab, hanya makan juga ikut yang ada saja,” katanya.

Dia berkata, hanya rasa terkilan sikit jika berkurung itu lebih lama lagi boleh menghalang untuk solat tarawih setahun sekali.

“Tetapi, jika terpaksa apa boleh buat kerana masalah itu seluruh dan terima sahaja untuk kesihatan,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Tags: , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *