Dituduh Simpan Wang Di Luar Negara. Ini Penjelasan Tun M Yang Ditunggu Ramai | Beberapa nama ahli politik telah disebut-sebut mempunyai aset harta yang disimpan di luar negara termasuklah mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut terpalit dengan isu ini, baru-baru ini.

Dituduh Simpan Wang Di Luar Negara. Ini Penjelasan Tun M Yang Ditunggu Ramai

Menurut beliau, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut kerana tiada bukti yang berjaya ditunjukkan bahawa beliau mempunyai kekayaan dan melakukan perbuatan tersebut seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa tidak bermaksud beliau tidak mempunyai kekayaan malah ramai yang mendakwa dirinya ‘pandai’ menyembunyikan kekayaan yang dimiliki.

Beliau menyifatkan bahawa sepanjang menjadi Perdana Menteri Malaysia, beliau menolak rasuah dan melakukan yang terbaik untuk menunjukkan bahawa tidak terlibat dengan rasuah selain menyifatkan bahawa kehidupannya adalah secara bersederhana.

Tun M turut memberitahu bahawa beliau telah membina dua biji rumah namun ia menggunakan pinjaman kerajaan yang beliau berhak dan melalui pinjaman dari bank manakala jumlahnya juga tidak mahal serta dibayar menggunakan gaji dan elaun yang diperoleh, menurut laporan Sinar Harian.

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, gaji yang diterimanya lebih daripada mencukupi untuk menyara diri dan keluarga kerana kerajaan telah menyediakan rumah, membayar bil elektrik dan air, selain turut menyediakan beberapa kenderaan bermotor, bahkan kapal terbang untuk kegunaannya.

Tambahnya lagi, elaun berbayar untuk bergerak ke seluruh negara dengan tujuan pekerjaan bahkan ketika bercuti ke luar negara juga diterima manakala yang perlu dibayar olehnya ialah makanannya dan keluarga serta pakaian.

Jelas beliau, sebagai bekas Presiden UMNO, beliau sering ditawarkan sumbangan namun semuanya diberikan kepada parti malahan semua kempen untuk pilihan raya dibayar sendiri kerana pembayaran untuk pekerja parti adalah kecil dan berpatutan.

Semasa menjadi Perdana Menteri juga, Dr Mahathir berkata, beliau tidak menganggap hadiah yang diterimanya sebagai barangan peribadi malahan ia sebagai hadiah kepada Pejabat Perdana Menteri selepas ia  telah didaftarkan sebagai hak milik kerajaan, terutamanya kenderaan bermotor namun masih lagi beliau dituduh melakukan rasuah seperti yang didakwa sesetengah pihak .

Selain itu,baginya, kempen anti rasuah dianggap sangat penting kerana rasuah memberikan kesan negatif seperti mampu merosakkan sesebuah negara dan menyebabkan negara menjadi lebih miskin justeru beliau telah menjalani kempen ini semasa zaman pemerintahannya namun mendapat reaksi ‘sinis’ dari sesetengah pihak kerana mereka menganggap dirinya juga seorang yang sangat korap.

Jelasnya secara lanjut, kesan lain rasuah adalah rakyat menjadi menderita apabila berurusan dengan pemerintah yang melakukan rasuah dan pelaburan akan merosot serta peluang pekerjaan tidak akan memenuhi permintaan rakyat yang menganggur.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply