Doktor Kongsi Detik Cemas Ibu Hamil 34 Minggu Pengsan Sebelum Pergi Buat Selamanya | Di saat perasaan berdebar dan takut menanti kehadiran orang baharu, hanya doa ibu mengiringi perjalanan kehamilan.

Apa yang diharapkan daripada seorang ibu, biarlah anak yang dilahirkan selamat, sihat dan sempurna.

Namun sebagai ibu, ada yang bernasib baik mengandung tanpa alahan teruk, ada yang dari awal kehamilan hingga saat nak melahirkan pun masih lagi berulang alik ke hospital dan ada alahan.

Tetapi semua itu dilalui dengan penuh sabar.

Kisah yang menyayat hati perkongsian Dr Redza Zainol ini mengenai besarnya pengorbanan ibu sehingga syahid ketika melahirkan anak benar-benar membuktikan hebatnya wanita bergelar ibu:

Pagi Sabtu yang tenang itu bertukar menjadi cemas selepas saya dapat panggilan dari Jabatan Kecemasan.

“O&G nak buat Perimortem Caesar di Red Zone.

Minta doktor turun sekarang, bayi baru 34 minggu dalam kandungan.”

“Caesar di Red Zone?”

Sungguh saya tercengang. Terus saya berlari ke bilik sebelah dan maklumkan pada jururawat.
Saya bersama seorang lagi doktor sambung berlari ke Jabatan Kecemasan. Semuanya mesti pantas.

Sampai saja kami di Red Zone, seorang jururawat menjerit, “Paeds dah sampai!”

Saya macam tak percaya.

Keadaan di situ begitu kecoh, seolah-olah saya berada di medan perang. Ada seorang doktor sedang membuat CPR pada ibu itu. Tiub pernafasan pula sedang disambung ke mesin bantuan pernafasan oleh seorang doktor yang lain.

Staf kesihatan yang lain pula sedang menyiapkan tempat untuk pembedahan segera.

Doktor bius dan doktor O&G dah sampai dan pembedahan kecemasan ini akan bermula pada bila-bila masa.

Ini pengalaman pertama saya melihat Caesar dibuat di luar bilik pembedahan. Ibu ini baru saja tiba di tempat letak kereta sebelum tiba-tiba pengsan di hadapan hospital. Apabila tiba di Jabatan Kecemasan, denyutan jantungnya sudah berhenti. Jantung bayi dalam kandungan pula semakin lemah. Doktor O&G buat keputusan untuk keluarkan bayi dengan segera.

Syukurnya, bayi itu selamat. Sebaik saja keluar, dia terus menangis. Namun saiznya yang masih kecil dan pramatang, saya bawa bayi tu ke NICU (wad rawatan intensif bayi) untuk rawatan selanjutnya.

Tiga minggu berjuang di dalam NICU akhirnya bayi ini discaj. Dibawa pulang oleh ayahnya sebagai seorang anak yatim.

Mati, ajal dan maut ini semua kerja mutlak Tuhan. Selagi kita ada peluang, hargailah isteri lebih-lebih lagi ketika dia sedang mengandung.

Melayan isteri, meneman isteri, bantu meringankan beban isteri yang sedang mengandung adalah kerja mulia.
Itu semua dibuat atas dasar tanggungjawab. Bukan sebab isteri mengada-ngada, nak bermanja atau tidak pandai berdikari.

Antara contoh layanan baik pada isteri:
✔️ Ambil tahu tentang keadaan kesihatan isteri semasa mengandung.
Penyakit apa yang dihadapi.
Ubat apa yang isteri perlu ambil setiap hari.
Apa makanan yang sesuai untuk kesihatan isteri.

✔️ Temankan isteri untuk datang temujanji di hospital atau di klinik kesihatan.
Keberadaan suami sangat membantu menenangkan emosi isteri.
Jaga riak wajah kita supaya tidak nampak seperti isteri sedang menyusahkan suami.

✔️ Ambil alih kerja-kerja di rumah.
Termasuk jagakan anak-anak yang lain.
Isteri yang tengah sarat, perlukan rehat yang lebih.
✔️ Jadi pendengar yang baik.
Ada masa yang dia rasa tak selesa atau sakit.

✔️ Jadi lebih sensitif dengan keadaan isteri.
Perubahan hormon dalam badan isteri, buatkan mood dia selalu berubah.
Isteri sangat bersyukur apabila suami berusaha untuk cuba fahami kehendak isteri.

✔️ Mengurut pinggang dan kaki isteri.
✔️ Ucapkan pada isteri yang dia cantik setiap hari walaupun bentuk badannya sudah banyak berubah.
Layanlah isteri sebaik mungkin. Hari ini dia ada, esok lusa mungkin dia sudah tiada. Temankan dia ke mana saja yang kita mampu. Buat apa saja yang terdaya.
Kerana apa yang dia sudah buat untuk keluarga kita tiada bandingannya.

Kredit: Dr Redza Zainol

Sumber: Awani

Share.

Leave A Reply