DS Anwar Ada Majoriti ? Ini Respon Rasmi PM Muhyiddin Yang Dinanti Ramai

| September 23, 2020 | 0 Comments

DS Anwar Ada Majoriti ? Ini Respon Rasmi PM Muhyiddin Yang Dinanti Ramai | Sejak tengahari tadi ramai ternanti-nanti. Ini komen balas Perdana Menteri Malaysia. Baca selanjutnya.

Kenyataan Rasmi Perdana Menteri

Saya mengambil maklum kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Dakwaan ini hendaklah dibuktikan menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan. Tanpa melalui proses tersebut, kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah dakwaan semata-mata.

Sehingga dibuktikan sebaliknya, Kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh dan saya adalah Perdana Menteri yang sah.

Saya memohon supaya rakyat bertenang menghadapi situasi ini. InsyaAllah, isu ini akan ditangani dengan baik menurut proses undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

TAN SRI DATO HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Perdana Menteri Malaysia
23 September 2020

Sumber : FB TS Muhyiddin Yassin

Anwar Dakwa Miliki Majoriti Bentuk Kerajaan

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Anwar mendakwa, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Katanya, beliau sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 11 pagi semalam, namun ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Alhamdulillah. Kini saya mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan ingin saya nyatakan, majoriti yang menyokong juga adalah dalam kalangan Melayu dan Islam.

“Secara konklusifnya, (jumlah majoriti) kuat dan kukuh. Saya tidak bercakap mengenai empat, lima, enam (Ahli Parlimen) tapi lebih daripada itu.

“Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas menghadap Agong dalam masa terdekat, insya-Allah,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam sidang media di hotel di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar berkata, pentadbiran kerajaan itu kelak akan mewakili semua rakyat, dengan majoriti Melayu Bumiputera dan perwakilan semua kaum di negara ini.

“Kami tetap menjunjung prinsip Perlembagaan yang mengiktiraf kedudukan Islam, kedaulatan Raja Melayu, memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kedudukan istimewa Melayu, selain jaminan tegas mempertahankan hak pelbagai kaum lain,” katanya.

Ditanya berulang kali mengenai jumlah majoriti yang didakwa diperolehinya dan parti yang menyokongnya, Anwar berkata, beliau mempunyai senarai itu, namun menyerahkan kepada parti yang terbabit untuk menyatakan pandangan mereka.

“Bagaimanapun, setakat ini, saya ada dokumen tetap. Tidak harus diragui. Kalau tidak, saya tidak lakukan sidang media ini.

“(Jumlah Ahli Parlimen) kukuh dan meyakinkan. Ia bukan jumlah yang kecil yang kita perkatakan.

“Kenapa saya tidak mahu sebut? Sebab saya meletakkan penghormatan kepada kedudukan Agong dan sepatutnya perkara terperinci ini harus dimaklumkan kepada baginda terlebih dulu,” katanya.

Beliau berkata, dengan sokongan dan majoriti yang diperolehnya itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tumbang.

“Saya persilakan beliau untuk bekerjasama. Saya tidak ada masalah peribadi dengannya. Kesediaannya bekerjasama akan membantu supaya perubahan peralihan (kuasa) berlaku dengan aman dan teratur.

“Seandainya beliau bersedia, beliau boleh berkhidmat dengan apa-apa kedudukan yang sesuai,” katanya.

Ditanya sama ada pembentukan kerajaan baharu yang didakwanya itu melalui pintu belakang, Anwar menafikannya dan mendakwa ia kerajaan yang mendapat mandat dan sokongan dengan prinsip serta dasar yang jelas.

Ditanya jika kerajaan itu kerajaan Pakatan Harapan (PH), Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa, satu gabungan parti baharu bagi penubuhan kerajaan akan terbentuk dan akan mengambil kira pengalaman lalu.

Berhubung sama ada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyertai gabungan baharu berkenaan, Anwar berkata, “Tidak. Beliau mungkin memutuskannya kemudian tapi ketika ini, tidak”.

Sumber: Berita Harian

Tags: , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *