Dua Beranak Cedera Rempuh Kereta Gara-gara Kejar Kekasih Curang |Dua beranak yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di lampu isyarat Jalan Sempadan di sini hingga rakaman videonya menjadi tular, dilaporkan selamat dan hanya mengalami cedera ringan.

Dua Beranak Cedera Rempuh Kereta Gara-gara Kejar Kekasih Curang

Video berdurasi 12 saat itu mendakwa kejadian berlaku apabila motosikal terbabit meluru laju hingga mengabaikan lampu isyarat merah dipercayai untuk mengejar sebuah kenderaan lain yang dinaiki teman lelaki bersama seorang wanita

Menerusi rakaman ‘dashcam‘ kereta yang terbabit dalam kemalangan itu menunjukkan motosikal berkenaan melanggar bahagian tepi kereta hingga mengakibatkan penunggangnya jatuh di atas jalan manakala pembonceng tercampak ke atas bonet kereta.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 2.20 petang pada Ahad lalu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego ditunggangi seorang remaja perempuan berusia 17 tahun bersama ibunya berusia 56 tahun.

Menurutnya, kemalangan itu berpunca daripada penunggang motosikal terbabit yang tidak mematuhi lampu isyarat merah menyebabkan pelanggaran berlaku dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang jurutera berusia 27 tahun.

Jelasnya lagi, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kereta yang dipandu lelaki terbabit dari arah Parit Buntar hendak balik ke Bandar Bharu, Kedah.

Katanya, setiba di lokasi, lampu isyarat telah hijau dan mangsa meneruskan perjalanan sebelum motosikal dinaiki dua wanita itu yang datang dari arah sebelah kanan melanggar bahagian tepi dipercayai tidak mematuhi lampu isyarat merah.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan penunggang dan pembonceng mengalami luka di kaki dan badan, manakala kereta mengalami kerosakan di bahagian pintu, cermin hadapan serta lampu pecah.

Katanya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Rule 10 LN166/59.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply