Dua beranak tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di FELDA Palong Tujuh, dekat sini, musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Duit Raya Tahun Lalu 18 Cucu Hangus Bersama Rumah

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 ketika Robiah Waris, 64, bersama anak lelakinya berada di kebun, menyebabkan mereka tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa termasuklah duit raya yang disimpan untuk 18 cucunya sejak setahun lalu.

Robiah berkata, duit raya yang diletakkan di dalam senaskhah al-Quran itu memang disimpan khusus untuk semua cucunya yang berusia antara lapan bulan hingga 15 tahun.

Jelasnya, duit berkenaan dia simpan selepas Aidilfitri tahun lalu, namun jumlahnya tidak dapat dipastikan kerana dia tidak pernah mengiranya.

Katanya lagi, selepas api dipadamkan, dia bersama ahli keluarga mencari al-Quran berkenaan dan hanya menemuinya dalam keadaan hampir hangus.

Walaupun sedih dengan kejadian itu, Robiah berkata dia reda dengan ujian ini, namun yang penting semuanya selamat biarpun rumah musnah 90 peratus dalam kebakaran.

Jelasnya, buat masa sekarang, dia dan anak tinggal di inap desa GPW di tanah rancangan berkenaan buat sementara waktu.

Katanya, Aidilfitri juga akan disambut sederhana kerana kehadiran anak serta cucu sudah cukup menggembirakan.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Bandar Seri Jempol, Mohd Hazreen Mohd Zahar berkata. pihaknya menerima panggilan jam 10.31 pagi dan bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 46 kilometer itu.

Tambahnya, api dapat dikawal dalam masa 10 minit dan berjaya dipadam sepenuhnya 30 minit kemudian.

Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply