Dua Individu Berparang Tetak Pelayan Restoran Ditahan | Dua lelaki tempatan berusia 44 dan 47 tahun ditahan awal pagi semalam kerana menetak sorang pelayan restoran pada pagi Selasa lepas.

Dua individu berparang tetak pelayan restoran ditahan

ACP Mohd Zaid Hassan, Ketua Polis Daerah Kajang berkata kejadian berlaku pada 9.25 pagi di sebuah restoran di Taman Segar Perdana, Cheras.

Beliau berkata dalam kejadian berkenaan, lelaki yang bekerja sebagai pelayan restoran berusia 46 tahun itu mengalami kecederaan patah tulang jari telunjuk kiri dan luka di lutut kaki kanan akibat ditetak dua suspek berkenaan.

Hasil siasatan mendapati punca kejadian berlaku adalah disebabkan seorang daripada penyerang itu tidak berpuas hati dengan mangsa yang telah menegurnya kerana membuat bising apabila minuman yang dipesan lewat dihantar.

Beliau berkata dalam kenyataan hari ini bahawa suspek telah dihalau keluar dari restoran dan kemudian datang semula bersama seorang lagi rakan dengan membawa senjata parang menyerang mangsa.

Mohd Zaid berkata kedua-dua lelaki itu diberkas pada 3 pagi semalam di Taman Cheras Permata, Kajang dan turut dirampas dua bilah parang dan pakaian yang digunakan mereka semasa kejadian, ujian air kencing turut mendapati seorang suspek positif dadah.

Beliau juga berkata kedua-dua lelaki itu direman selama lima hari sehingga 22 Jan ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata.

Terdahulu tular rakaman kamera litar tertutup berdurasi selama 1 minit 20 saat menunjukkan dua individu bersenjatakan parang menyerang seorang pelayan restoran ketika pelanggan sedang makan.

Sumber: Astro Awani

 

Artikel Lain

Lelaki M4ut Ditetak Dengan Parang Ketika Pergaduhan

KLANG – Seorang lelaki mati ditetak menggunakan senjata tajam dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan remaja di Taman Intan, Kapar di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.04 pagi, mangsa berusia 30an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, sepasukan anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung pergaduhan tersebut.

Katanya, anggota polis yang tiba di lokasi tersebut mendapati terdapat seorang lelaki terbaring di atas jalan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Siasatan awal mengesyaki pergaduhan melibatkan dua kumpulan remaja dengan mangsa telah ditetak dengan menggunakan senjata tajam tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Dua suspek utama warga tempatan berusia 20an yang terlibat dalam kes itu telah dikenal pasti dan usaha mengesan mereka sedang dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, punca siasatan masih dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Vijaya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superitendan Hanis di talian 019-9099763 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada talian 03-32912222 serta mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 18 saat memaparkan dua lelaki memegang senjata tajam dipercayai parang panjang.

Sumber: Kosmo

Lelaki Putus Jari Tangan Kiri, Cedera Parah Ditetak Pedang Samurai

Seorang lelaki berusia 38 tahun putus jari tangan kiri dan cedera parah di lutut kiri selepas ditetak menggunakan senjata tajam di hadapan sebuah rumah dalam kawasan Kampung Gong Cempedak, di sini, malam semalam.

Kejadian berlaku lebih kurang jam 8 malam itu berpunca daripada perlanggaran kecil yang berlaku antara kenderaan suspek dengan mangsa.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Aris berkata, selepas perlanggaran itu, suspek dikatakan mengajak mangsa untuk menyelesaikan dan bersetuju membayar ganti rugi.

Menurutnya, sebaik sampai di rumah suspek, mangsa diminta menunggu di luar rumah dan lelaki itu (suspek) masuk ke dalam rumah dikatakan untuk mengambil wang.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba apabila suspek keluar rumah, dia menetak mangsa dengan senjata tajam seperti pedang samurai atau parang panjang sebelum melarikan diri dengan menggunakan Proton Wira warna biru gelap.

“Suspek juga bertindak merempuh sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis Merchang dan memecut menghala ke Dungun pada jam 8.45 malam.

“Susulan itu, beberapa anggota bertindak mengejar dan berjaya memintas kereta suspek di belakang Sekolah Gong Balai Merchang dan melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai berhampiran.

“Bagaimanapun, usaha lelaki itu menyeberangi sungai tidak berjaya apabila polis bertindak pantas melakukan tangkapan walaupun suspek cuba melawan,” katanya menerusi kenyataan media.

Mohd Zain berkata, hasil ujian air kencing terhadap suspek berusia 33 tahun yang bekerja sendiri mendapati positif dadah jenis methapethamine dan ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga Selasa depan.

“Kita juga menemubual beberapa saksi yang melihat kejadian ini bagi membantu siasatan dan mangsa kini berada dalam keadaan stabil serta berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Susulan tangkapan ke atas suspek, kita percaya berjaya menyelesaikan dua kes membabitkan Seksyen 326 Kanun Keseksaan mendatangkan cedera parah dengan senjata dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan cubaan membunuh,” katanya.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply