Seorang pemandu lori bersama kelindannya, maut akibat tersepit dalam kemalangan selepas lori dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di Kilometer (KM) 43.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian 6.45 pagi itu, pemandu lori, Wan Muhammad Izzat Wan Jusoh, 25, dan kelindan, Nik Mohamad Nasrullah Mohd Nizam, 26, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata kejadian berpunca daripada sebuah lori melanggar belakang treler.
“Siasatan mendapati, kemalangan berlaku apabila lori muatan cat dari arah Gua Musang menuju ke Kota Bharu, melanggar bahagian belakang sebuah treler muatan barangan besi yang berhenti di tengah jalan akibat kerosakan gear.
“Kedua-dua mangsa iaitu pemandu dan kelindan lori tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian. Mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, jenazah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut,” katanya.