Dua Lelaki Maut Motosikal Bertembung Di Tengah Jalan.. AL FATIHAH | Dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung semasa melalui Lorong Dusun Nyor, Kampung Kubang Bemban di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi itu, Mohamad Aiman Rani Abdullah,17, dan Muhammad Hanieff Nazri, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, siasatan awal mendapati, Mohamad Aiman Rani yang bekerja sebagai peniaga menunggang motosikal jenis Honda C70 dari arah Pasir Mas menghala ke Kampung Kubang Bemban.

Menurutnya, Muhammad Hanieff yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 pula datang dari arah bertentangan dengan Mohamad Aiman Rani.

“Semasa tiba di kawasan Lorang Dusun Nyor, kedua-dua buah motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai bertembung di tengah-tengah jalan.

“Insiden itu menyebabkan mereka jatuh di atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Nasaruddin memberitahu, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas di sini untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply