Dua Lelaki Maut, Tiga Cedera Dalam Kemalangan

| June 16, 2021 | 0 Comments

Dua Lelaki Maut, Tiga Cedera Dalam Kemalangan | Malang tidak berbau buat dua orang lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun apabila kedua mereka maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta Proton Wira dari arah bertentangan berhampiran stesen minyak Batu 6, Simpang Empat, di sini, malam tadi.

Dua Lelaki Maut, Tiga Cedera Dalam Kemalangan

Dalam kejadian pada jam 8.05 malam itu, penunggang motosikal Muhamad Amirul Abdul Majid, 24, dan pemboncengnya, Muhammad Luthfan Asri, 15, yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian.

Kedua-dua mangsa menetap di Kampung Raja, Simpang Empat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata hasil siasatan awal mendapati, motosikal itu dipercayai dari arah Alor Setar ke arah Simpang Empat manakala kereta terbabit dari arah bertentangan Simpang Empat ke arah Alor Setar.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal berkenaan bergerak lurus di laluan mereka manakala kereta Proton Wira yang dinaiki tiga individu termasuk seorang wanita dari arah bertentangan.

Bagaimanapun kereta yang dipandu oleh  Muhammad Aniq Shafiq Anuar, 20, itu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke arah laluan hadapan motosikal terbabit dan menyebabkan berlaku pelanggaran hadapan di hadapan antara kedua-dua kenderaan.

Akibat daripada pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan maut di tempat kejadian manakala Muhammad Aniq Syafiq yang juga pelajar dan menetap di Kampung Bukit Lerek, Jalan Kuala Nerang itu mengalami kecederaan di mata, muka dan luka di tangan.

Sementara itu, dua orang penumpang dalam kereta itu Muhammad Faizal Mohamad Na’in, 20, berasal dari Pendang dan Rosfaizureen Roslan, 18, dari Alor Setar masing-masing turut mengalami cedera ringan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kenderaan itu ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Sumber: Berita Harian

Tags: , , , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *