Dua Penyelam Yang Dikhuatiri Lemas Ditemui Selamat | Dua penyelam yang dikhuatiri lemas ketika menyelam pada kedudukan 0.4 batu nautika timur Pulau Jarak dekat sini petang semalam ditemui selamat di pulau tersebut malam tadi.

Gambar Hiasan

Kedua-duanya ditemui berpaut pada jeti Pulau Jarak kira-kira pukul 7.40 malam bagi menyelamatkan diri tidak lama selepas kehilangan mereka dilaporkan.

Difahamkan, mereka dibantu anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di pulau berkenaan.

Kejadian turut dimaklumkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak untuk tindakan lanjut.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Balai Polis Pulau Pangkor berhubung kejadian itu pada pada pukul 7.04 malam.

“Maklumat sama turut disalurkan kepada Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, dan Komander Operasi Komponen Maritim (MCOC) bagi mendapatkan bantuan.

“Mangsa yang merupakan lelaki tempatan bersama tiga rakan melakukan aktiviti menyelam di kawasan Pulau Jarak dengan menaiki bot disewa petang semalam,” katanya dalam kenyataannya di sini.

Mereka kemudiannya dipindahkan ke Pulau Jarak untuk pemantauan kesihatan oleh anggota TLDM dan akan dibawa ke Lumut dengan bantuan aset TLDM serta dua anggota APMM Perak hari ini.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply