Dua Polis [email protected] Ditembak Remaja 16 Tahun | Dua pegawai polis di Edmonton, wilayah Alberta, barat Kanada maut ditembak seorang remaja lelaki dalam kejadian pergaduhan keluarga, lapor BBC.

Polis di bandar Edmonton berkata, remaja berusia 16 tahun itu turut meninggal dunia selepas menembak diri sendiri.

Pegawai terbunuh ialah Travis Jordan, 35, yang sudah lebih lapan tahun berkhidmat dan Brett Ryan, 30 yang berkhidmat selama lebih lima tahun.

Ketua Polis Dale McFee berkata, dua pegawai itu ditembak selepas menerima panggilan mengenai pergaduhan di sebuah pangsapuri di Edmonton, kira-kira 12.47 tengah malam (waktu tempatan), pada Khamis minggu lalu.

Menurutnya, panggilan dibuat ibu suspek dan sebaik tiba, pegawai menemuinya di luar bangunan dan ketika mahu menghampiri rumah suspek, mereka ditembak beberapa kali oleh suspek yang berada di pintu.

Katanya, kedua-dua pegawai itu diberikan bantuan serta-merta dan dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia di hospital.

Ibu suspek berusia 55 tahun turut parah ditembak dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

Timbalan Ketua Polis Edmonton, Devin Laforce berkata, pegawai tidak melepaskan sebarang tembakan kerana tidak menyedari remaja itu mempunyai senjata.

Katanya, suspek dan ibunya bergaduh yang menyebabkan wanita itu ditembak.

Beliau yang tidak menamakan suspek atau ibunya berkata, wanita itu parah, namun stabil.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan tidak mendedahkan jenis pistol digunakan dalam kejadian itu berdasarkan semakan remaja itu mempunyai masalah mental tetapi tiada rekod jenayah.

Ucapan takziah dizahirkan pasukan polis sekitar Kanada termasuk di Vancouver dan Toronto serta daripada Perdana Menteri, Justin Trudeau.

Lapan pegawai polis terbunuh semasa menjalankan tugas di Kanada dalam tempoh enam bulan lalu, termasuk berlaku di Ontario dan British Columbia.

Sumber: Harian Metro

 

Artikel Lain

Seorang Wanita Serang Ibu Pejabat Polis Ditembak Mati.

Seorang Wanita Serang Ibu Pejabat Polis Ditembak Mati. | JAKARTA: Seorang wanita bersenjata disyaki pengganas ditembak mati selepas melepaskan enam das tembakan di kawasan Mabes Polri (ibu pejabat polis Indonesia) di Jakarta.

Ketua Polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo dalam sidang media malam ini berkata suspek berusia 25 tahun itu memasuki kawasan Mabes Polri kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

“Suspek memasuki melalui pintu masuk belakang (Mabes Polri), kemudiannya melepaskan empat tembakan di satu pos kawalan di Mabes Polri, dan dua das tembakan kepada anggota polis di kawasan berkenaan, anggota polis kemudiannya bertindak menembak suspek, ” katanya yang tidak menyatakan jenis senjata api yang digunakan wanita itu.

Tiada anggota polis cedera atau terkorban dalam kejadian berkenaan.

Hasil siasatan awal mendapati suspek, berinitial “ZA” itu berideologi fahaman pertubuhan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (Daesh), dan merupakan bekas mahasiswa di sebuah institusi pengajian tinggi.

“(Hasil siasatan awal) (suspek) juga melakukan hantaran di akaun Instagramnya dalam tempoh 21 jam lepas, yang memuat turun bendera Daesh, selain itu di aplikasi “WhatsApp Group” keluarganya, suspek juga mengucapkan pamit (selamat tinggal),” katanya.

Sejak beberapa hari lepas selepas kejadian bom bunuh diri di luar sebuah gereja di Makassar, Sulawesi Selatan pada Isnin lepas, polis Indonesia mengadakan operasi besar-besaran memburu jaringan pengganas di seluruh Indonesia.

Menurut Listyo, sehingga kini sebanyak 23 suspek pengganas ditahan di beberapa kota di Indonesia termasuk lima di Jakarta.

Sumber : Astro

Share.

Leave A Reply