Polis berjaya menahan dua lelaki selepas disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah di beberapa kawasan di Perak sejak 10 bulan lalu pada Sabtu lepas.

Polis tahan dua rakan disyaki edar dadah sejak 10 bulan lalu

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu, suspek pertama yang berusia 22 tahun telah ditahan pada pukul 9.15 malam, di Bidor.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas lelaki berkenaan polis berjaya menemukan 17 paket plastik disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 14 gram (g).

Selain itu, 10 bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah jenis heroin anggaran berat kira-kira 4.60 kilogram (kg).

Tambah beliau juga mengatakan kejayaan rampasan dadah yang bernilai RM161,543 itu membawa kepada penangkapan suspek kedua yang berusia 37 tahun sekitar sejam kemudian di Teluk Intan.

“Ujian saringan air kencing telah dijalankan ke atas kedua-dua suspek yang merupakan penganggur dan pemandu lori. Hasil ujian berkenaan mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

“Semakan rekod jenayah mendapati kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

“Kesemua dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di kawasan Tapah, Bidor dan Teluk Intan dengan anggaran boleh digunakan kepada 15,000 orang penagih,” katanya dalam sidang media di IPK Perak, di sini, hari ini.

Susulan itu, menurut Mohd Yusri yang mengatakan dalam serbuan berkenaan sebuah kereta dengan nilai RM15,000 turut disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan harta) 1988.

Oleh itu, kedua-dua suspek juga direman selama tujuh hari iaitu sehingga 5 November depan,  katanya

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati,” jelas beliau lagi.

Sumber : Astro Awani

Share.

Leave A Reply