Tiga cedera termasuk dua warga emas parah dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 23, Jalan Lipis-Benta berdekatan kawasan rehat dan rawat (R&R) Benta dekat sini pada Sabtu.

Dua Warga Emas Patah Tulang Rusuk Dan Paha Akibat Kemalangan

Dalam kejadian kira-kira pada jam 12 tengah hari itu, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena, yang juga seorang guru beralamat di Kuarters Institusi Pendidikan Sekolah Kebangsaan Bukit Belah, Kelang mengalami kecederaan sakit di bahagian pinggang.

Kejadian tersebut juga menyebabkan bapanya, berusia 69 tahun, yang duduk hadapan di sebelah kiri mengalami kecederaan patah tulang rusuk kanan manakala ibunya, 72, yang duduk di bahagian belakang kereta, patah paha kanan

Sementara itu, ibu saudara pemandu, 66 tahun, yang duduk di belakang tidak mengalami kecederaan. Kesemua mereka berasal dari Sungai Nibong, Sekinchan, Selangor.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, kemalangan itu melibatkan kereta jenis Nissan Serena dengan sebuah lori kontena muatan habuk kayu jenis Volvo yang dari Kampung Kerambit, Lipis.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, punca kemalangan apabila kereta Nissan Serena dari arah Kuala Lumpur dipercayai telah terbabas dan memasuki laluan lori berkenaan lalu menyebabkan berlaku perlanggaran.

“Pemandu dan penumpang kenderaan MPV yang mengalami kecederaan telah dibawa dengan ambulans ke Hospital Lipis untuk rawatan, manakala pemandu lori terbabit tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azli berkata, kesemua mangsa yang cedera telah menerima rawatan susulan di Unit Kecemasan Hospital Lipis dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan berselekoh, berturap dan cuaca baik. Kedua-dua kenderaan telah dialihkan serta-merta dan tidak menghalang lalu lintas,” katanya.

Ujarnya, pemandu dinasihatkan supaya berhati-hati dan berwaspada di Jalan Benta-Lipis yang merupakan laluan utama Kuala Lumpur ke Kelantan, selain menggalakkan agar pengguna berhenti rehat bagi mereka yang membuat perjalanan yang jauh.

Sumber : Astro Awani

Share.

Leave A Reply