Empat sekeluarga parah akibat ditetak ketika menunggu untuk berbuka puasa dalam kejadian di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili dekat sini, baru-baru ini.

Empat Sekeluarga Ditetak Ketika Berbuka Puasa

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata polis menerima maklumat orang awam berkenaan kes itu pada jam 8.22 malam.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada jam 7.11 malam ketika empat beranak itu menunggu waktu berbuka puasa.

Tambahnya, suspek tiba-tiba mengamuk sebelum menetak isterinya berusia dalam 30-an, ibu mentua dalam 50-an, serta dua adik iparnya masing-masing lelaki berusia 16 tahun dan perempuan berusia 30-an menggunakan parang.

Sambungnya, semua mangsa yang parah dihantar ke Hospital Kota Tinggi bagi rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil.

Katanya dalam kenyataan, dua anak suspek berusia lima dan dua bulan selamat dalam kejadian itu.

Husin berkata, punca kejadian belum diketahui dan polis giat menyiasat motif serangan.

Sehubungan itu, katanya, polis giat mengesan seorang pekerja ladang nanas, Mohd Adi Hashim, 38, beralamat di Felda Air Tawar 3, bagi membantu siasatan.

Jelasnya lagi, orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurul Syafiqah Khalid di talian 019-5121568 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply