Empat Sekeluarga [email protected] Dalam Kemalangan. | ALOR GAJAH: Empat sekeluarga menemui ajal selepas kereta jenis Toyota Estima dinaiki terlibat dalam nahas di simpang tiga Jalan Kolam, Machap di sini kira-kira pukul 7.45 pagi tadi.

Dalam kemalangan tersebut, warga emas, Ibrahim Daud, 71, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala isterinya, Latipah Dorahim, 66, menghembuskan nafas terakhir semasa mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah.

Dua lagi mangsa yang terkorban ialah menantu mereka, Syazana Tharin, 30, dan cucu lelaki berusia lima tahun, Yusuf Daniel Muhammad Izwan yang turut meninggal di hospital sama.

Dalam pada itu, seorang lagi cucu lelaki, Aniq Fahim Muhammad Izwan cedera pada bahagian kepala dan sedang dirawat di zon merah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, pemandu Toyota Estima yang juga anak lelaki kepada pasangan warga emas itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, kemalangan berlaku disebabkan sebuah lagi kereta jenis Toyota Land Cruiser yang keluar dari simpang berkenaan untuk membelok ke kanan.

“Datang kenderaan dinaiki semua mangsa yang sedang meneruskan perjalanan telah cuba mengelak ke arah kanan jalan dan cuba membrek sejauh lima meter, tetapi melanggar juga Toyota Land Cruiser itu pada bahagian kiri hadapan.

“Daripada pelanggaran tersebut seorang penumpang Toyota Estima telah meninggal dunia di tempat kejadian. Semua penumpang lain telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan. Pemandu Toyota Land Cruiser itu juga telah dibawa ke hospital.

“Tiga lagi mangsa telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan. Jenazah mangsa telah diserahkan kepada pihak hospital untuk proses bedah siasat dan kenderaan telah ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Arshad, semasa kejadian Toyota Land Cruiser dipandu seorang peniaga berumur 59 tahun dari arah Durian Tunggal menghala ke Selandar, manakala kereta mangsa pula dari arah Selandar ke Alor Gajah.

Dalam pada itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem, kesemua mangsa terlibat sedang dalam perjalanan ke Langkawi, Kedah untuk meraikan sambutan hari lahir Ibrahim.

“Pagi yang amat menyedihkan. Berhati-hatilah semasa pemanduan. Kecuaian sedikit boleh mengakibatkan kehilangan orang yang tersayang.

“Kemalangan di simpang tiga Kampung Asli Machap Baru pagi tadi telah meragut empat nyawa. Dengar cerita mereka bersama keluarga dalam perjalanan ke Langkawi untuk meraikan hari jadi datuknya.

“Amat sedih arwah meninggal dunia pada hari yang sama hari jadi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, salam takziah,” katanya.

Sumber : UM

 

 

ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA

Pemandu lori kontena maut tercampak kemalangan enam kenderaan

SEREMBAN: Seorang pemandu lori kontena tercampak sebelum maut dalam kemalangan melibatkan enam buah kenderaan di Kilometer 280 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), arah Selatan dari Nilai menghala ke Seremban di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kemalangan pada pukul 11.35 pagi itu melibatkan enam buah kenderaan iaitu masing-masing sebuah lori kontena jenis Nissan, lori jenis Mercedes Benz, kereta Mitsubishi Outlander, Mercedes Benz, Toyota Alphard dan motosikal Honda Dash.

Katanya, akibat kemalangan tersebut pemandu lori kontena, Muhammad Iqbal Kamarulzaman berusia 42 tahun dari Klang, Selangor yang mengalami kecederaan di bahagian badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila lori kontena yang dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Nilai dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Lori kontena melanggar empat buah kereta dan sebuah motosikal yang sedang bergerak terus di laluan bertentangan dari arah (Nilai ke Seremban),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Malik berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu lori kontena tercampak sebelum disahkan meninggal dunia manakala lima lagi mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk rawatan.

“Mangsa yang cedera termasuk pemandu dan tiga penumpang kereta Mitsubishi Outlander yang cedera di muka, tangan kiri serta bahu serta luka-luka di kaki. Selain itu, pemandu sebuah lagi lori cedera dengan luka ringan di kepala serta penunggang motosikal mengalami patah tangan,” katanya.

Katanya, pemandu kereta Mercedes Benz dan Toyota Alphard selamat dan tidak mengalami kecederaan dan siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, kemalangan turut menyebabkan kesesakan sejauh hampir lima kilometer dan kerja-kerja mengalihkan kenderaan masih dijalankan.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply