Enam Cedera Parah Akibat Tembakan Rambang Di Sebuah Sekolah | Sekurang-kurangnya enam cedera dalam satu kejadian tembakan di sebuah sekolah di negeri California, Amerika Syarikat, semalam, lapor akhbar Arab News.

Lokasi tembakan bagaimanapun kini dikategorikan sebagai ‘tidak lagi aktif’, demikian menurut jurucakap Syerif Daerah Alameda, Leftenan Ray Kelly.

Paramedik membawa enam yang cedera ke hospital, di mana kesemua mereka didapati mengalami kesan luka tembakan, jelas jurucakap Jabatan bomba Oakland, Michael Hunt.

Datuk Bandar Oakland, Libby Schaaf memuat naik kenyataan di laman Twitter bahawa semua yang cedera adalah orang dewasa dan kejadian itu berlaku di sekolah menengah Sojourner Truth Independent Study.

Pegawai terlibat bagaimanapun tidak menyatakan mana-mana mangsa yang berkemungkinan pelajar sekolah berusia 18 tahun ke atas.

Tiga daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal di Hospital Highland di Oakland, manakala tiga lagi dibawa ke Pusat Perubatan Eden di Castro Valley dan keadaan mereka tidak diketahui, kata pegawai.

“Pegawai daerah tidak mempunyai sebarang maklumat selain apa yang dilaporkan oleh Polis Oakland,” kata jurucakap Oakland Unified School District, John Sasaki dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, ibu pejabat sekolah itu tidak dikunjungi pelajar dan lokasinya terletak di blok yang sama dengan tiga sekolah lain.

Rakaman televisyen menunjukkan berpuluh-puluh kereta polis dan pita kuning kelihatan di jalan di luar sekolah, selain ramai pelajar meninggalkan kampus berhampiran.

Ahli Majlis Perbandaran, Treva Reid berkata, penyiasat memberitahunya bahawa tembakan itu mungkin dikaitkan dengan peningkatan ‘keganasan kumpulan dan puak’.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply