Tragedi pencarian Mohamad Aiman Asyraf Shahrulzaman ,11  yang dipercayai dihanyutkan oleh arus deras di alur sungai Kuala Kemaman masih dilakukan hingga ke hari ini.

Sepasang suami isteri tetap sabar menunggu anaknya agar ditemukan setelah dikhuatiri lemas berhampiran Pantai Marina, dekat sini meskipun sudah enam hari kehilangannya di kawasan itu.

Shahrulzaman Saparuddin, 51, berkata, dia dan isterinya, Haslina Yusoff, 48 setia menunggu di tepi pantai menanti kepulangan Mohamad Aiman Asyraf. Malah mereka juga sudah lima malam berkhemah dan tidur di pantai berkenaan.

“Kami harap adik (Mohamad Aiman Asyraf) akan balik dengan selamat. Namun, kami juga reda sekiranya dia hanya pulang dengan sekujur jasad.

“Seboleh-bolehnya, kami mahu dia ditemukan supaya sekurang-kurangnya kalau dia sudah tidak bernyawa, biarlah ada pusaranya. Berat rasanya hati untuk terima kalau dia berkubur di laut,” katanya di sini, hari ini.

Shahrulzaman berkata, dia turut melakukan solat hajat memohon kepada Allah agar pencarian anak ketujuh daripada lapan beradik itu dipermudahkan.

Sementara itu, Haslina berkata, hatinya tidak tenang selagi tidak dapat melihat susuk tubuh anaknya.

“Kalau sudah ajalnya, anak meninggal dunia depan mata, mungkin saya boleh terima. Namun, bila hilang tanpa berita begini, agak berat hati untuk diterima, namun, jika ini yang ditakdirkan Allah, mak cik reda.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang Jumaat lalu, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Chukai itu dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras ketika mandi di alur sungai Kuala Kemaman berhampiran pantai itu bersama dua rakannya berusia 12 dan 9 tahun.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, operasi pencarian diperluaskan hingga ke Kuala Kerteh dan Pantai Cherating, Kuantan, Pahang.

“Setakat ini, kita masih belum menemukan mangsa dan tiada petunjuk baharu. Kita teruskan pencarian di dasar dan dipermukaan air.

“Kita juga minta bantuan daripada nelayan sekiranya terjumpa objek dipercayai manusia supaya melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sumber : Utusan Online

Share.

Leave A Reply